PETALING JAYA: Selepas 23 hari jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kosong, ia mula mencetuskan tanda tanya apabila masih belum ada pengganti.
Jawatan itu kosong selepas pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet pada 11 Disember 2023.
Dan sehingga berita ini ditulis, masih belum ada tanda mengenai pelantikan CEO baharu, meskipun beberapa nama sebelum ini disebut-sebut oleh penganalisis kemungkinan dilantik ke jawatan berkenaan.
Timbul tanda tanya, apakah punca kelewatan bagi mengisi jawatan berkenaan? Kenapa KWSP mengambil masa yang agak lama jika dana pencen itu dikatakan mempunyai barisan tokoh untuk menggantikan Amir Hamzah?
Kelewatan itu juga mencetuskan persoalan dalam kalangan pencarum yang mengharapkan KWSP memberikan dividen 2023 lebih baik berbanding 2022. Pada mereka, kelewatan pengganti Amir Hamzah sedikit sebanyak memberi kesan kepada operasi KWSP.
Dana pencen itu setakat November 2023, mempunyai 15.99 juta ahli dengan 8.53 juta ahli aktif, mewakili 50.4 peratus daripada 16.93 juta tenaga buruh Malaysia.
Untuk rekod, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan berjumlah RM47.86 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023 (9B2023). Ia merupakan peningkatan sebanyak 33 peratus daripada RM36.04 bilion daripada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada 2022, KWSP memberikan dividen sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan syariah.
Mengulas senario itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpandangan, adakah KWSP ketiadaan calon yang sesuai untuk dilantik sebagai CEO baharu?
“Tahun ini dijangka mencabar, maka calon yang berkaliber perlu dilantik supaya KWSP terus maju dan memberikan dividen yang kompetitif kepada ahli-ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, KWSP sebelum ini diterajui oleh seorang teknokrat sehingga KWSP mampu menjana pendapatan tinggi seterusnya membolehkan jumlah aset lebih RM1 trilion.
Justeru katanya, ketiadaan pengganti yang sesuai sedikit sebanyak boleh mempengaruhi prestasi KWSP pada masa akan datang.
“Justeru, pelantikan CEO baharu perlu dibuat segera. Walaupun begitu, sehingga kita masih belum lagi mendengar ura-ura pelantikan tersebut. Mungkin kerajaan sedang memperhalusi tokoh yang sesuai dan berpengalaman luas untuk menerajui institusi KWSP ini kerana ia membabitkan dana yang besar,” katanya.
Bagi Timbalan Pengarah, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM, Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin pula, kekosongan jawatan serta-merta mengambil sedikit masa untuk mencari pengganti.
“Hendak kata sukar (pilih CEO baharu) tidak pasti, cuma hendak mencari yang betul-betul sesuai memang memerlukan masa. Lebih-lebih lagi jawatan itu dikosongkan tanpa perancangan awal,” katanya. – UTUSAN









