PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat dijangka meningkat kepada 4.0 peratus berbanding 3.3 peratus pada suku ketiga, berikutan ekonomi domestik yang berkembang pesat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ini dipacu oleh sektor perkhidmatan, aktiviti industri pelancongan serta perbelanjaan pengguna yang turut meningkat sempena musim perayaan akhir tahun.
Katanya, kadar pengangguran juga semakin menurun dan kadar inflasi terkawal yang kini pada 1.5 peratus memberikan ruang untuk ekonomi domestik berkembang dengan baik, walaupun dibayangi oleh sektor eksport yang terus malap berikutan ekonomi dunia yang perlahan.
“Secara kumulatif, KDNK Malaysia dijangka dipacu oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan dan berdaya saing untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya empat peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
“Walaupun KDNK suku kedua rendah pada 2.9 peratus tetapi peningkatan aktiviti ekonomi yang beralih pada suku ketiga memberikan tanda-tanda positif, dasar fiskal kerajaan dan juga swasta juga terdorong ke arah memastikan ekonomi domestik berkembang pesat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, dalam memacu ekonomi domestik menjadi pemangkin sementara sektor luar negara pulih, program-program yang dilaksanakan seharusnya tidak menambahkan bebanan kewangan kerajaan.
“Selain daripada itu, Aimi Zulhazmi berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa masuk banyak pelaburan langsung asing (FDI) harus direalisasikan sebaiknya dalam usaha mengembangkan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.
“Pelabur tempatan janganlah dilupakan dan harus di beri insentif untuk terus mengukuhkan perniagaan masing-masing.
Tambahnya, perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) harus disokong untuk menyertai arus perdana perniagaan negara terutamanya dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, KDNK bagi suku keempat tahun ini dianggarkan sederhana sekitar 4.1 hingga 4.3 peratus.
Beliau berkata, ini sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dunia yang juga diunjurkan perlahan pada 1.3 peratus, meningkat sedikit daripada 1.2 peratus.
“Pertumbuhan ini hasil daripada permintaan domestik yang berdaya tahan serta pertumbuhan berterusan dalam guna tenaga dan upah disokong dengan perbelanjaan pengguna sebenar meningkat 0.3 peratus,” ujarnya.-UTUSAN










