Gas Malaysia terajui usaha niaga gas hijau

Gas Malaysia terajui usaha niaga gas hijau

AHMAD Hashimi Abdul Manap
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) meneruskan usaha memupuk pembangunan mampan jangka panjang dengan meneroka potensi penyelesaian sisa kepada tenaga sebagai komitmennya yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Gas Malaysia dalam kenyataan berkata, anak syarikat milik penuh Gas Malaysia iaitu Gas Malaysia Virtual Pipeline Sdn. Bhd. (GMVP) telah bekerjasama dengan Greenviro Solution Sdn. Bhd. (Greenviro) bagi menandakan pencapaian penting dalam komitmen ke arah penyelesaian tenaga lestari.

Melalui kerjasama tersebut, GMVP akan mendapatkan biometana yang dijana di Stesen Pemindahan Sisa Ampang Jajar dan menyuntiknya ke dalam Sistem Pengagihan Gas Asli (NGDS) Gas Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, penting untuk memupuk pakatan strategik dengan organisasi yang berkongsi nilai yang sama  bagi mencapai pertumbuhan mampan.

Katanya, usaha itu sejajar dengan Pelan Kelestarian Perniagaan Gas Malaysia yang dilancarkan pada November tahun lepas.

Jelas beliau, Gas Malaysia berhasrat memainkan peranan penting dalam menyumbang ke arah aspirasi negara untuk masa depan rendah karbon dan memenuhi agenda perubahan iklim.

“Usaha gas hijau ini merupakan contoh usaha syarikat dalam memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui dan secara aktif menyumbang kepada kemajuan masa depan yang lebih mampan.

“Selain Greenviro, Gas Malaysia juga menjalin kerjasama dengan syarikat lain termasuk kilang minyak sawit bagi memanfaatkan kepakaran untuk mendorong kemajuan pelan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Tambah Ahmad Hashimi, penggunaan biometana akan membantu mengurangkan jumlah metana yang dilepaskan ke atmosfera dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi menyumbang kepada aspirasi sifar bersih negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×