PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM225.1 bilion pada Disember 2023 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM118.5 bilion dan RM106.7 bilion, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia pada Disember 2023 bernilai RM118.5 bilion, menurun sebanyak RM13.2 bilion (-10.0 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM5.0 bilion), Pulau Pinang (-RM3.3 bilion), Selangor (-RM3.0 bilion), W.P. Labuan (-RM2.1 bilion), Sarawak (-RM904.8 juta), Perak (-RM569.0 juta) dan Melaka (-RM529.7 juta).
Tambahanya, eskport rendah dilihat pada Sabah (-RM186.8 juta), Negeri Sembilan (-RM125.3 juta), Kelantan (-RM74.4 juta) dan Perlis (-RM16.6 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Kedah sebanyak RM850.4 juta, Terengganu (+RM673.6 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM539.8 juta) dan Pahang (+RM58.0 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.5 peratus, diikuti oleh Selangor (17.4 peratus), Johor (17.2 peratus), Sarawak (9.4 peratus) dan Kuala Lumpur (5.6 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir Mahidin berkata, import pada Disember 2023 meningkat RM3.0 bilion (+2.9%) berbanding bulan yang sama pada 2022.
Jelasnya, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.5 bilion), Pulau Pinang (+RM926.0 juta), Negeri Sembilan (+RM343.0 juta), Pahang (+RM308.9 juta), Terengganu (+RM183.3 juta), Kelantan (+RM139.8 juta) dan Labuan (+RM16.0 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM588.1 juta, Melaka (-RM462.1 juta), Selangor (-RM292.1 juta), Perak (-RM268.5 juta), Sabah (-RM184.3 juta), Kedah (-RM113.3 juta) dan Perlis (-RM21.9 juta).
“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.2 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (22.0 peratus), Johor (21.8 peratus), Kuala Lumpur (7.8 peratus) dan Kedah (5.5%),” ujarnya.-UTUSAN










