PETALING JAYA: Pakar ekonomi mengunjurkan agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) meningkat sekitar 3.25 peratus setelah ditolak zakat simpanan, berbanding 3.10 peratus pada 2022.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, dalam erti kata lain, pulangan keuntungan sebenar kepada pendeposit TH bagi 2023 adalah sebanyak 5.75 peratus sebelum ditolak zakat.
Katanya, ini juga akan menunjukkan bahawa pulangan keuntungan dividen oleh TH kepada pendeposit adalah lebih tinggi berbanding dividen ASB tahun 2023 iaitu sebanyak 5.25 sen seunit.
“Peratusan yang tinggi ini didorong oleh pengurusan yang cekap dalam pelaburan yang berisiko tidak tinggi bagi berdepan cabaran ekonomi pada 2023. Ini dilakukan melalui pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap dan ekuiti serta pelaburan hartanah dan pasaran wang Islam.
“Selain itu, saya juga menjangkakan jumlah aset TH yang melebihi jumlah liabiliti TH turut mendorong kepada peningkatan agihan keuntungan untuk tahun 2023.
“Faktor kesedaran masyarakat Islam yang tinggi terhadap pentingnya menunaikan rukun Islam kelima ini menyaksikan peningkatan bilangan pendeposit baharu, seterusnya menyumbang kepada peningkatan jumlah dana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, kadar dividen TH bagi tahun lalu dijangka berada antara 3.10 ke 3.30 peratus.
Katanya, keuntungan TH dijangkakan hampir sama kerana institusi itu turut memberikan subsidi yang lebih tinggi untuk menyerap kenaikan kos haji pada tahun ini.
“Keuntungan akan disalurkan semula untuk menambah subsidi kepada jemaah haji,” ujarnya.-UTUSAN










