Capital A lupus perniagaan penerbangan kepada AAX 

Capital A perkemas operasi, lupus perniagaan penerbangan kepada AAX 

TONY Fernandes (dua, kiri) bergambar selepas mengumumkan pelantikan kepimpinan utama ketika di AirAsia RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Selangor di sini, hari ini. - UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Capital A Berhad berhasrat melupuskan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X Berhad (AAX) dalam bentuk tunai dan saham, dengan pertimbangan akan dirundingkan kemudian.

Menurut Ketua Pengawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, ia sebahagian daripada pelan penyatuan komprehensif yang melibatkan pemindahan semua perniagaan jarak dekat di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina ke AAX, yang kini hanya mengendalikan penerbangan jarak pertengahan.

“Langkah strategik ini bertujuan memperkemaskan operasi Kumpulan serta memudahkan usaha penilaian berteraskan perniagaan bagi entiti berasingan yang berpotensi,” katanya selepas menyampaikan pelan perancangan tahunan 2024 Capital A  serta mengumumkan pelantikan dua Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia di sini, hari ini.

Mereka ialah Datuk Kapten Chester Voo yang memimpin bahagian operasi penerbangan dan Farouk Kamal yang menerajui fungsi korporat termasuk audit dalaman serta risiko.

Capital A pada ketika ini masih dalam penyenaraian status Notis Amalan 17 atau PN17 di bawah Bursa Malaysia sejak Januari tahun lalu serta dianggap di bawah nilai pasaran.

Mengulas lanjut, Tony berkata, perubahan itu akan membuka nilai lebih besar kepada para pemegang saham dan semua cabang perniagaan Capital A dijangka berkembang.

“Kami bersedia ke peringkat seterusnya tetapi perlu kumpul dana untuk kembang bisnes dan akses kepada modal jadi cabaran disebabkan masih dalam status PN17,” jelasnya.

Justeru ujar beliau, pihaknya giat berinteraksi dengan ramai pelabur yang menyatakan kecenderungan kukuh mereka bagi terlibat dalam perniagaan penerbangan sepenuhnya.

Pada masa sama tambahnya, untuk memastikan Capital A mendapat suntikan kewangan teguh, mereka akan meneruskan penjualan bisnes tertentu secara strategik kepada AAX.

Usaha itu katanya, dijangka menyaksikan penggabungan dua syarikat penerbangan jarak jauh dan dekat di bawah jenama AirAsia tertakluk penyelesaian rundingan penjualan.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu AirAsia menjadi operator udara terbesar ASEAN bagi menyaingi nama-nama besar antarabangsa sebelum bersara menjelang 2028.

“Saya berhasrat sebelum meninggalkan syarikat ini, kita sudah pun mampu menyaingi atau setanding Emirates dan menjadikan Malaysia sebagai antara hab dunia

“Kami menjangkakan mampu terbang ke banyak negara di benua Eropah hujung tahun ini selain meneroka pasaran baharu rantau Asia Tengah yang berpotensi luas,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×