Bursa Malaysia, Ringgit dibuka rendah awal dagangan 2024

Bursa Malaysia, Ringgit dibuka rendah awal dagangan 2024

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka didagangkan ‘mendatar’ berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu pertama 2024, ekoran aktiviti perniagaan yang agak perlahan selepas cuti hujung tahun, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, perkembangan itu adalah biasa pada permulaan tahun baharu.

“Pada kebiasaannya, aktiviti perniagaan agak perlahan sedikit pada awal tahun selepas cuti hujung tahun yang panjang. Kadar pertukaran dijangka tidak ba­nyak berubah dan agak mendatar.

“Ini kerana, aktiviti ekonomi masih belum rancak di seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ringgit dibuka rendah dalam dagangan awal pada Selasa, hari dagangan pertama pada tahun baharu 2024.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit susut kepada 4.5910/5965 berbanding dolar AS daripada 4.5900/5980 yang ditutup pada Jumaat lalu.

Mata wang negara itu ditutup pada 4.5998/4.5930.

Sementara itu, mengulas perkembangan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), Abu Sofian berpanda­ngan, pasaran saham tempatan memulakan dagangan awal 2024 dengan prestasi rendah juga disebabkan aktiviti awal tahun yang lebih perlahan.

Beliau berkata, perkara itu juga berhubung kait dengan ekonomi setiap negara dan aktiviti ekonomi di negara-negara besar seperti AS dan China.

“Berdasarkan aktiviti ekonomi yang agak perlahan awal tahun ini, maka unjuran bursa bulan ini akan turut perlahan. Selain itu, pergerakan saham juga dipengeruhi oleh aktiviti ekonomi sama ada di dalam atau luar negara,” ujarnya.

Semalam, Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur bagi hari pertama dagangan 2024 dengan FBM KLCI dibuka 2.46 mata lebih rendah kepada 1,452.20 daripada 1,454.66 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Bursa Malaysia ditutup pada 1,453.10 mata, jatuh 1.56 mata dari Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×