PETALING JAYA: Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau, dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB), menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital, berkuat kuasa mulai 15 Januari 2024.
Menurut Syarikat itu, ia menandakan satu batu loncatan yang besar kerana konsortium akan menjadi bank digital pertama majoriti-milik-Malaysia untuk memulakan operasi dengan aplikasi bank digital yang terbenam di pasaran tempatan, yang direka untuk menangani jurang keterangkuman kewangan bagi golongan yang kurang dan tidak mendapat akses perbankan.
Katanya, Konsortium Bank Digital Boost-RHB menerima kelulusan kawal selia lebih awal dari jadual, selepas melalui audit kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.
“Selepas berjaya mempamerkan infrastruktur asas yang teguh dan berdaya tahan bagi bank digital tersebut, kini secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), konsortium ini akan beralih ke fasa ujian alfa yang melibatkan pekerja, keluarga, rakan, dan kumpulan pelanggan terpilih.
“Menjelang pelancaran awam rasmi, bank digital ini akan mempertingkatkan proposisi produknya secara progresif dan memperhalusi pengalaman pengguna bagi membuka jalan kepada era baharu kewangan terbenam demi memenuhi pelbagai keperluan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Fozia Amanulla telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boost Bank.
Konsortium Bank Digital Boost-RHB yang mana Boost menguasai 60 peratus ekuiti dan baki 40 peratus dikuasai RHB, adalah antara 5 pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd. Rashid Mohamad berkata, kelulusan yang diterima daripada BNM dan MOF adalah pencapaian penting dalam komitmen Kumpulan bersama Boost untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif, terutamanya untuk perniagaan dan individu yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan di Malaysia.
“Di bawah kepimpinan dinamik Fozia Amanulla dan pasukan perbankan digital yang berpengalaman, kami yakin Boost Bank bersedia untuk menerajui landskap teknologi kewangan digital. Bersama-sama, kami akan merealisasikan kemajuan bagi semua, untuk memastikan ekosistem kewangan yang teguh dan inklusif yang bakal memberi manfaat kepada semua dalam komuniti kami,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon pula berkata, Boost menghargai kepercayaan dan keyakinan pengawal selia terhadap bank digitalnya.
Kata beliau, pasukan Bosot terus komited untuk mengekalkan standard tertinggi sambil membayangkan semula perkhidmatan kewangan secara bertanggungjawab, melalui kuasa teknologi dan data.
“Pencapaian penting ini adalah hasil daripada perkongsian simbiotik dan strategik antara sebuah fintech dan institusi kewangan yang terkemuka dengan ekosistem yang besar, disatukan oleh visi bersama untuk memacu keterangkuman kewangan.
“Ia adalah kejayaan besar yang memberi penekanan terhadap keupayaan pasukan perintis kami, yang membangunkan bank ini. Kakitangan kami adalah teras kepada inovasi kami, dan saya yakin bahawa pasukan kami akan menjadikan visi bank digital kami suatu kenyataan,” katanya. – UTUSAN










