PETALING JAYA: Bask Bear bekerjasama dengan Village Park Nasi Lemak memperkenalkan menu inovasi baharu iaitu kombinasi menarik pada roti bakar, Bask Bear Sambal Toasties by Village Park sempena sambutan tahun baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, kolaborasi bersama Village Park yang terkenal dengan keenakan nasi lemaknya merupakan keputusan yang tepat.
Bryan berkata, menu baharu itu dijangka mendapat sambutan yang baik pada tahun ini dengan rasa pedas yang semakin popular dalam pelbagai hidangan serta makanan ringan.
“Mengambil inspirasi daripada masakan Malaysia yang pedas, kami menyedari bahawa rasa pedas bukan sekadar ikutan semata-mata, tetapi merupakan sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia.
“Bask Bear berinovasi dengan menggabungkan rasa pedas kegemaran ramai dalam roti bakar Bask Bear serta menghasilkan Village Park Sambal Toasties dan menjangkakan dapat memikat selera setiap rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bask Bear Sambal Toasties by Village Park di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Bryan berkata, kerjasama terbaharu menggunakan sambal Village Park adalah sejajar dengan strategi Bask Bear dalam menyajikan rasa asli melalui gabungan cita rasa tradisional dalam Toasties Bask Bear.
“Kami menyokong produk tempatan seperti Village Park, bukan sahaja dalam bentuk produk tetapi juga dalam keadaan kelestarian,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelan pengembangan syarikat, Bryan berkata, Bask Bear belum mempunyai perancangan untuk memasuki pasaran luar negara dan memberi fokus pada pasaran Malaysia untuk dua tahun akan datang.-UTUSAN











