KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan pembiayaan mikro berjumlah RM50 juta kepada usahawan dan syarikat perusahaan mikro sepanjang tahun 2024.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, sokongan berterusan Bank Rakyat terhadap sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan sektor itu.
“Sasaran pada tahun ini menyamai jumlah pada tahun lalu iaitu Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah lebih daripada RM50 juta kepada 1,856 usahawan dan syarikat perusahaan mikro,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, semalam.
Menurutnya, langkah itu sebagai agenda utama transformasi ekonomi negara menerusi inisiatif Ekonomi Madani yang dirangka berlandaskan faktor kemasyarakatan, nilai dan norma masyarakat yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani.
Sehubungan itu, Ramanan berkata, beliau juga mengadakan perbincangan bersama bank berkenaan untuk bekerjasama dengan usahawan PMKS yang dilahirkan Institut Keusahawanan Negara (Insken) membabitkan bantuan kewangan dan pinjaman perniagaan.
“Seramai lebih 90 peratus pelatih Insken berjaya dalam perniagaan. Saya telah berbincang untuk mempertimbangkan untuk mencari jalan supaya Insken bekerjasama dengan Bank Rakyat,” katanya.
Tambahnya, Bank Rakyat adalah bank pembangunan nombor berdasarkan aset berjumlah RM117 bilion.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, bank berhasrat untuk melaksanakan pembangunan strategik usahawan dan koperasi.-UTUSAN










