Banjir: Bank Muamalat tawar moratorium sehingga  6 bulan

Banjir: Bank Muamalat tawar moratorium sehingga  6 bulan

BANK Muamalat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan penawaran bantuan khas banjir yang merangkumi bantuan moratorium untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan.

Selain itu, bank turut menawarkan penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran kepada pelanggannya yang terjejas akibat situasi banjir baru-baru ini.

Presiden dan ­Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Ka­marudin berkata, pihak­nya amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited menyediakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggannya, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.

“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan “Service Request Form” (SRF) yang tersedia di laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my.

“Selain itu, pelanggan perlu menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi emel [email protected]. Langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan di­permudahkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khid­mat nasihat, boleh me­ngunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di talian 0326005500.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN