KUALA LUMPUR: Azerbaijan, negara di Caucasus Selatan menawarkan peluang pelaburan kepada usahawan-usahawan dari Malaysia untuk meneroka pelbagai potensi ekonomi yang terdapat di negara itu.
Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov berkata, sejak bebas daripada Soviet Union pada 1991, Malaysia adalah antara negara pertama mengiktiraf kemerdekaan mereka, tetapi daripada segi hubungan dagangan masih kecil berbanding hubungan politik yang rapat.
Sehubungan itu, beliau mempelawa pelabur-pelabur dari Malaysia untuk melabur di negara itu terutama di Zon Ekonomi Bebasnya yang terletak kira-kira 70 kilometer dari ibu negara, Baku.
“Sejak merdeka, Azerbaijan mempunyai hubungan politik yang amat baik dengan Malaysia. Kami mahu jadikan hubungan yang baik ini kepada hubungan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Katanya, pada masa sekarang jumlah dagangan antara Malaysia dan Azerbaijan sangat kecil iaitu tidak lebih daripada AS$100 juta (RM464 juta) dan ia tidak setimpal berbanding keakraban kedua-dua negara.
Daripada jumlah itu katanya, Azerbaijan mengeksport minyak mentah ke Malaysia bernilai AS$36 juta (RM167 juta) dan import dari Malaysia pula ialah minyak kelapa sawit, barangan elektronik dan semikonduktor.
Beliau berkata, kerajaannya berharap untuk mengembangkan lagi dagangan antara kedua-dua negara terutama dengan menjemput usahawan dari Malaysia meneroka peluang pelaburan di negara itu.
Katanya, antara sektor yang boleh diteroka ialah perkilangan, pembinaan, tenaga terutama tenaga boleh baharu serta perladangan.
“Untuk sektor tenaga, kami sangat mengalu-alukan para pelabur dalam bidang tenaga boleh baharu terutama solar, angin dan geotermal kerana Azerbaijan berpotensi untuk mengeksport elektrik ke Eropah terutama ke negara-negara bekas Kesatuan Soviet,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan Azerbaijan yang strategik di Laut Caspian boleh dijadikan pintu masuk ke Asia Tengah, Iran dan Turkiye serta beberapa negara Eropah.
Menurut Irfan, pada masa ini, pelabur utama di Azerbaijan adalah Great Britain selain Turkiye dan Rusia.
“Sejak merdeka pada 1991 hingga kini, Azerbaijan sudah menerima pelaburan langsung asing bernilai AS$300 bilion (RM1.4 trilion) dengan Great Britain menjadi pelabur terbesar terutama dalam bidang petroleum,” katanya.
Beliau memberitahu, Petronas pernah mempunyai pelaburan di negara itu tetapi sudah menutup operasi mereka pada 2022.
Sehubungan itu beliau berharap pelabur-pelabur Malaysia akan mempertimbangkan untuk melihat potensi pelaburan di Azerbaijan kerana bukan sahaja akan membantu mengeratkan hubungan kedua-dua negara, tetapi juga meningkatkan nilai dagangan antara kedua-dua negara.
“Pihak kedutaan sedia membantu mana-mana organisasi yang berminat untuk meneroka peluang ekonomi di negara kami termasuk mengatur lawatan perniagaan dan pertemuan dengan pembuat dasar di Azerbaijan,” katanya.-UTUSAN










