SHAH ALAM- TV AlHijrah menyasarkan penyertaan 600 usahawan industri kecil sederhana (IKS) bagi program Percuma Jer yang bakal disiarkan di stesen televisyen tersebut mulai 1 Februari ini hingga 23 April, pada pukul 6 hingga 7 petang setiap Isnin hingga Khamis.
Ketua Pegawai Operasinya, Nadzariah Mohamed berkata, program tersebut diperkenalkan untuk membantu usahawan memperkenalkan produk mereka kepada rakyat Malaysia.
“Dengan hanya dikenakan caj sebanyak RM1,500 bagi memasuki slot program ini, usahawan tersebut boleh memperkenalkan apa-apa produk mereka, dengan syarat produk tersebut lulus pemeriksaan daripada agensi kerajaan.
“Kalau melihat caj slot tersebut, caj adalah sangat murah dan ini adalah niat kami untuk membantu usahawan IKS memajukan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar pengenalan program Percuma Jer di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.
Namun Nadzariah berkata, usahawan tersebut perlu memberikan 30 barangan produk mereka secara percuma kepada penonton setiap kali mereka bersiaran secara langsung bagi mempromosikan produk mereka.
Menurutnya, ini bertujuan bagi membolehkan penonton program tersebut mencuba produk terbabit, sebagai testimoni untuk penonton sebelum mereka mempertimbangkan untuk membeli produk terbabit.
“Bagi mendapatkan barangan percuma ini, penonton perlu memuat turun aplikasi AlHijrah Plus di telefon pintar mereka dan dari aplikasi tersebut, mereka perlu mengimbas kod QR yang akan dipaparkan ketika produk tersebut dipromosikan dalam program tersebut.
“Setakat ini, sebanyak 100 usahawan yang menjual pelbagai produk seperti produk kecantikan, makanan, pakaian dan lain-lain yang mengesahkan untuk menyertai program ini,” ujarnya.
Nadzariah berharap mendapat tontonan sehingga 500,000 penonton bagi setiap episod Persuma Jer.
Selain itu, beliau berharap program itu akan meningkatkan pendapatan stesen televisyen tersebut sebanyak RM1 juta.-UTUSAN










