Yayasan Peneraju, IDS Sabah laksana Program Peneraju Borneo

Yayasan Peneraju, IDS Sabah laksana Program Peneraju Borneo

IBRAHIM Sani (kanan) bertukar dokumen dengan Ramzah Dambul (tengah) semasa majlis menandatangani perjanjian di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah  menandatangani perjanjian untuk melaksanakan Program Peneraju Borneo – Inkubator Strategis Data (Fasa 1).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada Inisiatif Mampan Paduan dan Anjakan Kapasiti (IMPAK) Yayasan Peneraju yang merangkumi program intervensi pembinaan kapasiti untuk kumpulan terpinggir.

Katanya, kumpulan sasaran termasuk belia tercicir, pesalah juvana atau bekas banduan, kumpulan orang kurang upaya, pekerja tidak formal atau sektor gig, wanita daripada kumpulan B40 dan penerima manfaat dari negeri Sabah dan Sarawak.

“Program pembinaan kapasiti yang direka untuk kumpulan ini bertujuan memperkasa dan membantu meningkatkan tahap sosioekonomi mereka melalui latihan dan pendidikan serta memperoleh peluang pekerjaan atau menjana pendapatan sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

 

“Rakan kolaboratif yang dilantik untuk mengendalikan program ini biasanya mempunyai maklumat yang luas tentang pihak berkaitan dan akan memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan dan peluang lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Surat Anugerah (LOA) ditandatangani oleh Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul.

Program ini bertujuan untuk mengenal pasti rakyat Sabah yang berminat membina kerjaya dalam bidang berkaitan data (penganalisis data, jurutera data dan saintis data) dan akan diselaraskan oleh kakitangan IDS Sabah sendiri serta jurulatih dalaman daripada unit pengurusan data mereka.

Fasa 1 program ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh enam bulan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di wilayah Kudat di Bahagian Utara, Keningau di Pedalaman, Sandakan (termasuk Beluran, Telupid, dan Tongod Utara), Tawau (termasuk Kalabakan dan Tongod Selatan), dan Semporna (termasuk Lahad Datu dan Kunak) di Pantai Timur Sabah.

Sekurang-kurangnya 100 peserta berumur antara 18 hingga 50 tahun akan mendapat manfaat dan didedahkan kepada latihan data asas dan digital sebelum proses pemilihan berlaku.

Tambahnya, kejayaan dan output program fasa 1 kemudiannya akan menentukan potensi kesinambungan untuk peserta yang terpilih dan cemerlang untuk dilatih dengan modul lanjutan dan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai bidang tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN