PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad mengumumkan kerjasama strategik melalui kepentingan sebanyak 60 peratus dalam Kumpulan KAIZEN.
Pengumuman tersebut dibuat semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-28 (COP28) di Dubai.
UEM Edgenta diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Syahrunizam Samsudin manakala Kumpulan KAIZEN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fadi Marwan Alnwilati Almasri.
Kumpulan KAIZEN merupakan syarikat perkhidmatan pengurusan hartanah dipacu teknologi yang beribu pejabat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Berbekalkan rekod prestasi mengagumkan sepanjang 16 tahun, KAIZEN Group adalah perintis dalam perkhidmatan pengurusan hartanah hujung ke hujung yang dipacu teknologi di Dubai.
Syahrunizam berkata, matlamat utama kerjasama untuk mewujudkan platform perkhidmatan hartanah yang menyeluruh dan bersepadu.
“Melalui gabungan keupayaan serta penjenamaan UEM Edgenta dan Kumpulan KAIZEN, pakatan strategik ini direka bentuk untuk menyesuaikan diri dengan permintaan yang berubah dengan pesat untuk perkhidmatan hujung ke hujung dan pengalaman gaya hidup berkualiti oleh pemilik hartanah dan pengguna, disertakan dengan penyelesaian yang mampan dan dipacu teknologi.
“Fokus utama kerjasama ini adalah untuk mengintegrasikan teknologi bangunan pintar dan penyelesaian kemampanan ke dalam operasi Kumpulan KAIZEN, memanfaatkan platform pengurusan aset Asseto, sebuah Software as a Service (SaaS)dan kepakaran penyelesaian kemampanan seperti Kecekapan Tenaga dan Kontrak Prestasi Tenaga. Hal ini amat sesuai dengan komitmen sektor hartanah terhadap pendigitalan dan amalan-amalan yang cakna alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Fadi Marwan berkata, sebagai organisasi yang dipacu sasaran khusus, KAIZEN sentiasa menjadi perintis industri dalam memberikan penyelesaian unik kepada pengguna dan pelanggan.
Katanya, kerjasama dengan UEM Edgenta adalah kesinambungan kepada komitmen untuk memberikan nilai unik kepada pelanggan dengan memanfaatkan teknologi terkemuka UEM Edgenta untuk mengubah bangunan sedia ada kepada bangunan pintar, seterusnya mengurangkan jejak karbon.
“Kerjasama strategik ini akan menambah baik perkhidmatan kami dengan aspek kesejahteraan, kesihatan dan kebahagiaan, sekali gus memberikan kepuasan pelanggan yang lebih baik. Teras kepada misi kami tertumpu kepada kesejahteraan pelanggan, kami komited untuk memberikan pengalaman menyeluruh yang tiada tandingan.
“Kerjasama ini juga membolehkan kami berkembang di rantau ini dan memberi peluang kepada kami untuk menunjukkan kebolehan kepada pasaran yang lebih luas. Saya dan warga KAIZEN tidak sabar untuk bekerjasama dengan UEM Edgenta bagi menunjukkan kebolehan bersama untuk mendorong kami mencapai visi Kaizen 2040,” katanya. – UTUSAN











