PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sime Darby Property Berhad meterai Memorandum Persefahaman (MoU) membentuk kerjasama bermakna dengan mempercepatkan projek tenaga mampan dalam kawasan pembangunan hartanah perbandaran syarikat itu.
TNB dalam kenyataan berkata, MoU ini memahatkan anjakan ketara ke arah tenaga bersih Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen ke arah masa depan lebih hijau dan lestari.
Syarikat tenaga itu akan menumpukan pelaksanaan pelbagai inisiatif tenaga mampan termasuk pemasangan solar atas bumbung, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian mikrogrid inovatif dalam perbandaran Sime Darby Property dalam tempoh dua tahun ini.
Kerjasama ini menterjemahkan dedikasi TNB dalam merintis penyelesaian tenaga mampan dan komitmen Sime Darby Property untuk memupuk pembangunan yang mementingkan alam sekitar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, kerjasama tersebut merangkumi komitmen bersama kedua-dua syarikat untuk memacu peralihan tenaga lestari.
“Melalui MoU ini, kami menyasarkan untuk menyumbang secara signifikan kepada objektif tenaga bersih Malaysia selaras dengan visi mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050,” katanya.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Ir. Mohd Sohimin Mohd Alayedin.
Perjanjian tersebut adalah susulan kerjasama kedua-dua belah pihak melalui penyelesaian Rumah Hijau Pintar di Elmina Grove di City of Elmina, Shah Alam, Selangor, dengan menekankan kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Baharin berkata, perkongsian ini adalah bukti komitmen bersama mereka untuk merealisasikan Sifar Bersih 2050 dan melaksanakan amalan mampan dalam operasi dan komuniti.
“Ini mengukuhkan lagi kepimpinan TNB dalam merencanakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab dan menyerlahkan dedikasi kami memanfaatkan penyelesaian inovatif untuk masa depan lebih mampan,” ujarnya. –UTUSAN










