Tealive sasar eksport mutiara ubi kayu ke negara Islam

Tealive sasar eksport mutiara ubi kayu ke negara Islam

BRYAN Loo menyampaikan ucapan ketika lawatan media ke kilang pembuatan mutiara ubi kayu Tealive di Klang, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Peneraju jenama teh gaya hidup serantau, Tealive menyasarkan pengeksportan mutiara ubi kayu keluaran syarikat itu ke beberapa negara Islam pada tahun depan.

Sasaran itu ditetapkan selepas pembukaan kilang pertama mutiara ubi kayu di sini, yang akan dihasilkan sepenuh­nya syarikat berkenaan mulai bulan depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, pihak­nya setakat ini mampu menghasilkan kira-kira 100 tan bahan minuman berkenaan sebulan.

Jelas beliau, pembukaan kilang pembuatan itu dianggap signifikan kerana Malaysia antara negara pengeluar utama ubi kayu di dunia sekali gus mampu menjimatkan kos.

“Syarikat sebelum ini bergantung kepada pembekal dari negara luar namun kini mempunyai kilang sendiri yang mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 400 tan sebulan.

“Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, syarikat menyasarkan untuk mengeksport mutiara ubi kayu itu ke negara Islam seperti Dubai dan Indonesia menjelang hujung tahun depan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu, beliau memberikan penerangan mengenai kese­luruhan proses pembuatan mutiara ubi kayu itu meliputi pengadunan, pembentukan, penyaringan dan pembungkusannya.

Tambah Loo, pihaknya berhasrat meningkatkan pengelua­ran sehingga 300 tan sebulan bagi memastikan bekalan bahan minuman Tealive mencukupi sepenuhnya.

“Sebagai permulaan, kilang baharu itu akan mula mengeksport mutiara ubi kayu dengan memasuki pasaran Filipina terlebih dulu kerana kekukuhan pasarannya.

“Namun, syarikat akan memastikan keperluan bahan minuman itu akan dibekalkan kepada semua 830 rangkaian Tealive di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tealive yang mempunyai hampir 1,000 rangkaian di lapan negara turut akan memperluaskan variasi pengeluarannya bagi menghasilkan bahan minuman lain.

“Syarikat kekal menjalin kerjasama erat dengan pengeluar bahan minuman terbesar dunia iaitu Zhejiang Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd. Variasi penghasilan bahan minuman baharu dan sasaran lain syarikat akan diumumkan kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya