PETALING JAYA: Pensijilan halal Malaysia bagi produk kesihatan penting dalam usaha menjadikan negara ini sebagai hub pembuatan dan pengedaran ke peringkat global terutama di Indonesia, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Jepun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Totalife (M) Sdn. Bhd., Danny Chew berkata, pensijilan halal dalam masa yang sama mampu mengembangkan pasaran dan membina keyakinan pelanggan terhadap rangkaian produknya di negara ini.
Katanya, ini kerana proses bagi mendapatkan pensijilan halal Malaysia melibatkan proses ketat dan tadbir urus yang terperinci.
“Semua jenama mesti mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Malah, kami melaksanakan segala proses dengan begitu ketat dan tidak berkompromi dengan mengikut standard yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini .
Tambah Danny, pihaknya dalam masa yang sama melancarkan produk baharu di pasaran iaitu ‘7Days Curve’ dengan mematuhi pensijilan halal dan mempunyai ciri bioteknologi.
Dalam pada itu, Danny berkata, pihaknya meletakkan sasaran jualan syarikat sebanyak RM40 juta pada tahun depan selepas berjaya menembusi pasaran Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
Menurutnya, dua negeri itu kini menjadi menjadi penyumbang utama apabila mencatatkan permintaan menggalakan dengan membantu jualan syarikat melebihi RM20 juta sehingga kini.
“Prestasi jualan pada tahun ini banyak dibantu oleh pasaran di Sabah dan Sarawak selepas syarikat tidak aktif di sana sebelum ini kerana lebih aktif di Semenanjung Malaysia.
“Namun bermula Januari tahun ini, kami mula masuk ke Sabah dan Sarawak dan mendapat permintaan luar biasa hingga membuka gudang dan pejabat di sana,” katanya. – UTUSAN









