Sijil halal kukuhkan perniagaan Hazra Jaya Food

Sijil halal kukuhkan perniagaan Hazra Jaya Food

NOR Hathmina Ibrahim menunjukkan produk sedia dimakan (RTE) keluaran Hazra Jaya Food Enterprise di kilangnya di Bukit Besar, Alor Setar Kedah. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walaupun beroperasi di kampung, Hazra Jaya Food Enterprise mampu mencatatkan jualan sehingga RM25,000 sebulan sebagai pengedar pelbagai produk makanan termasuk sos, pes dan sedia dimakan (RTE).

Pengarah Urusan syarikat bumiputera tersebut, Nor Hathmina Ibrahim tidak menafikan sijil halal yang dimiliki sejak 2009 memberi nilai tambah kepada produk jenama Hazra yang berada di pasaran sejak 1994.

“Dulu banyak yang menggelar kami syarikat kampung, kilang kampung. Bagaimana nak berkembang mungkin setakat kampung sajalah. Tetapi dengan teknik pemasaran yang betul, Hazra Jaya Food berjaya dipasarkan sehingga ke luar Kedah.

“Salah satu sebab juga adalah sijil halal yang kami peroleh daripada Jakim sejak 2009. Kami pohon sijil ini awal walaupun ketika itu saya percaya kesedaran tentang perkara ini belum tinggi seperti hari ini.

“Jadi dengan sijil halal itu juga secara tidak langsung dapat memberi keyakinan kepada pelanggan untuk membeli produk Hazra,” katanya ketika ditemui di Kilang Hazra Jaya Food Enterprise di Bukit Besar, di sini baru-baru ini.

Nor Hathmina memberitahu, setakat ini Hazra Jaya Food mengeluarkan sebanyak 70 produk makanan yang dipasarkan ke seluruh negara termasuk di 13 rangkaian sebuah pasar raya terkemuka.

“Kami mempunyai dua jenis sijil halal iaitu untuk produk jenama Hazra sendiri dan produk kontrak pengilang OEM. Sijil ini banyak membantu sebab kami nampak ke depan, nampak keperluan awal iaitu selain mengeluarkan produk sendiri, Hazra Jaya Food juga mengeluarkan produk OEM.

“Ketika pandemik Covid-19 menular teruk dahulu, Hazra Jaya Food mampu bertahan kepada produk-produk OEM inilah apabila kami menghasilkan produk RTE kepada banyak syarikat lain,” katanya.

Bercakap tentang rancangan masa depan, kata usahawan yang berusia 55 tahun ini, syarikat berkenaan dalam proses memohon akreditasi ISO/IEC 17065 (Penilaian Kesesuaian) daripada Jakim dalam usaha memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Produk Hazra ada permintaan di luar negara termasuk di Asia Barat kerana apabila saya menyertai banyak ekspo sebelum ini yang mendedahkan banyak peluang untuk Hazra Jaya Food merentasi sempadan negara pula.

“Tahun depan Hazra Jaya Food juga akan menyertai satu ekspo makanan di Brunei dan kita melihat ia satu peluang untuk kami pasarkan produk ke negara itu juga. ISO ini kami dalam proses memohon dan diharapkan berjalan lancar,” kata suri rumah yang terjun ke dunia usahawan ini.

Mengulas lanjut, katanya, pendedahan syarikat berkenaan di pelbagai ekspo anjuran kerajaan sebelum ini memberi banyak peluang kepada produk jenama itu meraih perhatian dalam kalangan penggemar terutama RTE.

“Sejak Covid-19, produk RTE menjadi sangat popular sekarang seperti Nasi Lemak, Rendang, Nasi Briyani, Sambal Bilis, Daging Dendeng dan terbaharu Laksa Kedah. Mungkin kerana gaya hidup kita sekarang terutama di bandar-bandar besar.

“Hazra Jaya Food sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk untuk menghasilkan produk baharu seperti Laksa Kedah yang baru berada di pasaran sejak Julai lepas. Produk ini menggunakan resipi keluarga kami sendiri yang pernah berniaga laksa sejak tahun 90-an,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN