PETALING JAYA: Malaysia berjaya menarik RM225 bilion pelaburan yang diluluskan merentas sektor perkhidmatan, perkilangan dan sektor utama untuk tempoh dari Januari hingga September 2023, peningkatan 6.6 peratus dari tempoh sama tahun lepas.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya berkata, pelaburan melibatkan 3,949 projek itu dijangka membuka 89,495 peluang pekerjaan baharu, mempamerkan daya tahan Malaysia di sebalik ketidaktentuan operasi global yang lazim merentasi pelbagai industri.
Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) membentuk 55.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM125.7 bilion dan Belanda muncul sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM35.0 bilion.
Selain itu, Malaysia turut menarik pelaburan besar dari Singapura berjumlah RM20.4 bilion, diikuti Amerika Syarikat (AS) (RM18.9 bilion), China (RM11.6 bilion) dan Jepun (RM11.2 bilion).
“Kepelbagaian dalam pangkalan pelabur ini menyerlahkan daya tarikan sejagat Malaysia sebagai hab strategik, khususnya untuk rantau ASEAN,” katanya.
MIDA berkata, pelaburan langsung dalam negeri (DDI) pula menyumbang RM99.3 bilion, atau 44.1 peratus, peningkatan sebanyak 45.2 peratus tahun ke tahun, membuktikan keyakinan pemain tempatan terhadap prospek negara.
Jelasnya, lima negeri yang memperoleh nilai pelaburan tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM48.9 bilion, diikuti Pulau Pinang (RM44.9 bilion), Selangor (RM41.6 bilion), Kedah (RM22.6 bilion) dan Johor (RM20.0 bilion).
“Secara keseluruhan, negeri-negeri ini menyumbang 60.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tempoh pelaporan,” jelasnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan RM225 bilion tersebut adalah pencapaian terbaik Malaysia untuk tempoh yang sama sepanjang dekad yang lalu.
Katanya, prestasi tersebut juga peningkatan yang ketara berbanding purata 10 tahun sebanyak RM222.6 bilion untuk pelaburan swasta yang diluluskan.
“Pencapaian ini adalah bukti daya tarikan berterusan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, serta usaha sama kerajaan dan seluruh negara dalam menarik, memudahkan dan mengekalkan pelaburan, sambil meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.
“Aliran masuk pelaburan dari negara seperti Belanda, Singapura, AS, China, dan Jepun mencerminkan jenis pelaburan strategik berteknologi tinggi yang disasarkan Malaysia daripada pemain global,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, MITI dan MIDA akan terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya maju dan stabil untuk menarik lebih banyak aliran masuk secara strategik daripada reka bentuk semula rantaian bekalan dalam landskap pelaburan global. – UTUSAN










