PETALING JAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya membuktikan keberhasilan program bimbingan anjurannya melalui peningkatan RM13.3 juta hasil jualan, penciptaan 392 pekerjaan baharu dan 33 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil.
Prestasi cemerlang itu berjaya dicapai melalui pelaksanaan dua program bimbingan iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, INSKEN sentiasa konsisten dan bergiat aktif dalam melaksanakan mandat serta amanah yang diberikan khususnya untuk membantu usahawan.
“Tahun 2023, INSKEN telah merealisasikan 30 program bimbingan yang memberi manfaat kepada 809 usahawan di seluruh Malaysia. Pencapaian hari ini adalah sebuah penanda aras yang membuktikan bahawa usahawan memerlukan bantuan dari pelbagai sudut termasuk bimbingan.
“Pencapaian keseluruhan tersebut turut dijana oleh 484 usahawan mikro yang baru sahaja tamat mengikuti 18 program bimbingan INSKEN dan diraikan di sebuah Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN hari ini iaitu RM8.6 juta peningkatan hasil jualan (Program IBBC dan Program bimbingan keuntungan Menu), 156 pekerjaan baharu (Program IBBC) dan 13 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil (Program IBBC & Program Bimbingan Keuntungan Menu)
“Selain itu, 41 usahawan menambah medium penghantaran makanan baharu (Program Bimbingan Keuntungan Menu) dan 188 peratus peningkatan skor diagnostik dan 100 peratus mendaftar perniagaan secara sah (Program INSKEN Start-Up Coaching),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, pecahan peningkatan RM8.6 juta hasil jualan yang tercipta terbahagi kepada dua iaitu RM8.4 juta daripada 307 peserta Program IBBC dan lebih RM204,000 daripada 59 peserta Program Bimbingan Keuntungan Menu.
“Selain itu, lebih separuh daripada peserta program bimbingan ini telah melangkaui sasaran awal yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minima 20 peratus. Lebih membanggakan,13 usahawan telah bertukar status perniagaan mereka daripada mikro kepada kecil.
“Bagi Program INSKEN Start-Up Coaching, pencapaiannya diukur melalui peningkatan skor diagnostik dan pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara sah,” katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, Radziah Mahmud dari Roseville Confinement Villa & Spa dianugerahkan peserta terbaik bagi industri Postnatal Care kerana berjaya meningkatkan 401 peratus skor diagnostik dalam jangka masa 6 bulan menyertai program ini.
Fakrina Mhd Fakri pula dianugerahkan peserta terbaik bagi Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Beliau menjalankan perniagaan Healing Café di Ipoh berjaya meningkatkan 113 peratus hasil jualan selepas melaksanakan strategi serta ilmu yang diperolehi melalui program ini seperti mengenal pasti nilai titik pulang modal (Break Even Point), membuat iklan di TikTok Business, dan menggunakan perkhidmatan Grab Food serta Food Panda.
Seramai 484 usahawan yang bergraduasi telah mengikuti 18 program bimbingan INSKEN dan 11 daripadanya adalah melalui hasil kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Suriani Datuk Ahmad. – UTUSAN










