Pengguna Malaysia kekal positif prospek ekonomi

Pengguna Malaysia kekal positif prospek ekonomi – Kajian ACSS 2023

PENGANJURAN sukan bertaraf dunia boleh memacu sektor pelancongan negara seterusnya mengukuhkan pertumbuhan ekonomi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna Malaysia kekal positif tentang prospek ekonomi, walaupun ramai merancang mengekal dan mengurangkan perbelanjaan kerana bimbang kenaikan inflasi, menurut Kajian Sentimen Pengguna ASEAN (ACSS) 2023 oleh UOB Malaysia.

Malah, menurut kajian itu, mereka memberi tumpuan pada kewangan jangka panjang melalui simpanan, pelaburan dan insurans.

Kajian itu juga mendapati, pengguna Malaysia lebih bersikap optimis tentang keadaan ekonomi berbanding pengguna lain di rantau ini, dengan kira-kira dua daripada tiga responden menjangka mereka akan berada dalam keadaan yang lebih baik dari segi kewangan menjelang Jun tahun depan.

“Walaupun tiga daripada empat responden berpendapat Malaysia mungkin menghadapi kemelesetan ekonomi dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, sentimen muram ini telah berkurangan berban­ding tahun lepas.

“Dengan keyakinan ini, kira-kira 30 peratus pengguna Malaysia merancang untuk menambahkan peruntukan bagi simpanan, pelaburan dan insu­rans mereka.

“Walaupun berbelanja untuk insurans mendahului senarai bagi Generasi Baby Boomers, namun golongan Generasi Z dan Y lebih tertumpu pada peningkatan simpanan mereka. Generasi X pula memberi keutamaan pada pelaburan,” katanya, semalam.

Menurut UOB Malaysia, Baby Boomers adalah mereka yang berumur antara 57 hingga 65 tahun. Generasi X pula berumur antara 41 hingga 56 tahun, manakala Generasi Y yang juga dikenali sebagai Milenial, adalah mereka yang berumur antara 25 hingga 40 tahun; dan Generasi Z merujuk kepada individu berumur antara 18 hingga 24 tahun.

Jelasnya, memasuki tahun keempat diadakan, ACSS merupakan kajian utama serantau UOB yang menganalisis trend dan sentimen pengguna di Si­ngapura, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

UOB Malaysia berkata, kajian telah dijalankan dari 1 hingga 26 Jun 2023 dan meninjau 3,400 responden secara dalam talian di lima negara, termasuk 600 responden di Malaysia. Kajian itu juga kali pertama UOB bekerjasama dengan firma perunding pengurusan global Boston Consulting Group.

Kajian itu juga mendapati, tiga daripada empat pengguna Malaysia yang ditinjau semakin bimbang tentang kewangan mereka khususnya akibat kenaikan inflasi, peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, dan penurunan dalam simpanan atau kekayaan.

Sementara itu, 37 peratus responden menunjukkan per­belanjaan yang meningkat untuk barangan keperluan seperti barangan runcit, manakala 35 pe­ratus lagi telah berbelanja lebih banyak untuk utiliti.

“Akibatnya, pengguna Malaysia paling bimbang sama ada mereka berupaya mengetepikan wang untuk simpanan (34 peratus), membeli barangan keperluan (30 peratus), dan mengekalkan gaya hidup semasa (26 peratus). Secara berasi­ngan, dari segi perbelanjaan budi bicara, pengguna mengurangkan perbelanjaan untuk barang kemas (36 peratus), percutian (35 peratus) dan makan di luar (34 peratus),” katanya.

Mengulas dapatan kajian itu, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, pihaknya berbesar hati melihat lebih ramai rakyat Malaysia melabur untuk masa depan kewangan mereka.

Kata beliau, UOB Malaysia akan terus menyokong aspirasi kewangan mereka melalui rangkaian produk dan perkhidmatan yang luas.

“Berbekalkan penemuan daripada ACSS, kami dapat memahami tingkah laku pengguna dengan lebih baik, justeru meningkatkan tumpuan kami untuk menawarkan penyelesaian perbankan yang lebih peribadi bagi memenuhi keperluan dan pilihan unik mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×