Pengganti Amir Hamzah mesti tokoh korporat, profesional

Pengganti Amir Hamzah mesti tokoh korporat, profesional  – Penganalisis

CUKAI
AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu akan diumumkan dalam masa terdekat

Menurut KWSP, ia susulan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet yang berkuat kuasa semalam.

Sementara itu, penganalisis ekonomi mahu peneraju baharu KWSP mestilah tokoh korporat dan profesional bagi memastikan kesinambungan pertumbuhan dana pencen terbesar negara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, Malaysia mempunyai ramai individu yang berbakat dan menerajui korporat besar di negara ini bagi menggantikan Amir Hamzah.

Katanya, peneraju KWSP mestilah seseorang yang mempunyai jawatan atasan dalam korporat seperti ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan atau ketua pegawai operasi.

“Sehingga kini, KWSP masih dikendalikan oleh individu-individu yang cekap, malah pendapatannya sentiasa meningkat setiap tahun.

“Budaya ini akan kekal walaupun ketuanya silih berganti. KWSP adalah salah satu institusi yang berjaya dalam urusan pentadbiran yang efektif dan telus,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff mahu pengganti Amir Hamzah tidak melibatkan lantikan politik.

“Jangan sekali-kali adakan lantikan politik. Mesti tokoh korporat dan profesional.

“Mungkin Tan Sri Azman Mokhtar?” ujarnya ketika ditanya calon yang sesuai untuk jawatan ketua pegawai eksekutif baharu KWSP.

Dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan II berkuat kuasa semalam.

Terdahulu, Amir Hamzah telah mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.

Mengulas pelantikan itu, Ahmed Razman berkata, Amir Hamzah boleh membantu Perdana Menteri dalam memastikan segala dasar fiskal dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lagi efektif.

Katanya, perkara ini dapat dilaksanakan dengan mengutamakan impak serta output dan tidak melihat prestasi penyaluran dana semata-mata.

“Pembaharuan yang boleh dibawa adalah dari segi lebih telus dalam pelaksanaan dasar fiskal serta sifat akauntabiliti yang lebih tinggi, di samping keupayaan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, termasuk mengurangkan ketirisan, pembaziran dan rasuah,” jelasnya.

Amir Hamzah adalah teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat, mengikut jejak langkah Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di CIMB Group Holdings Bhd.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif KWSP pada 2021, beliau mengetuai Tenaga Nasional Berhad sejak 2019.

Beliau mempunyai pengalamannya lebih 27 tahun dalam dunia korporat dengan memegang pelbagai jawatan utama dalam pelbagai syarikat termasuk Shell, MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd. dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn. Bhd.

Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan dengan pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi dari Universiti Syracuse, New York.

Beliau kini merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corp Bhd. dan menganggotai Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Bhd. dan Sime Darby Oils International Ltd.

Amir Hamzah adalah anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Tun Azizan Zainul Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×