Pengeluaran getah asli meningkat, eksport menurun

Pengeluaran getah asli meningkat, eksport menurun

LUB Hassan mengutip getah beku untuk dijual ke pusat pembelian sejauh 10 kilometer berdekatan Kampung Cengkuak, Damak di Jerantut, Pahang. - GAMBAR HIASAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli meningkat 0.6 peratus kepada 32,944 tan metrik pada Oktober 2023 daripada 32,757 tan metrik bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 3.6 peratus kepada 31,795 tan metrik.

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 84.2 peratus berbanding sektor estet sebanyak 15.8 peratus,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Oktober 2023, semalam.

Beliau berkata, jumlah stok getah asli pada Oktober 2023 bagaimanapun menurun 0.4 peratus kepada 152,396 tan metrik daripada 153,011 tan metrik bulan sebelumnya.

Katanya, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Mohd. Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 56,460 tan metrik pada Oktober 2023, menurun 1.0 peratus berbanding September 2023 (57,028 tan metrik).

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 58.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2023 diikuti Jerman (8.5 peratus), Iran (3.5 peratus), Portugal (2.0 peratus) dan Türkiye (1.8 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.00 billion pada Oktober 2023, menurun 2.0 peratus berbanding September 2023 (RM1.02 billion),” jelas beliau.

Menurut Ketua Perangkawan, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 10.6 peratus (Oktober 2023: 532.20 sen sekilogram; September 2023: 481.08 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 4.4 peratus (Oktober 2023: 548.84 sen sekilogram; September 2023: 525.59 sen sekilogram).

Jelasnya, harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 3.2 peratus hingga 10.5 peratus.

Beliau berkata, The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 2.1 peratus (daripada AS$1.42/kg kepada AS$1.45/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 3.4 peratus (daripada AS$1.55/kg kepada AS$1.61/kg).

Tambahnya, laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Oktober 2023 menunjukkan, pasaran getah Kuala Lumpur secara amnya, bercampur-campur dengan harga SMR 20 dan Lateks Pekat bergerak dalam momentum meningkat disokong oleh pasaran asas yang menggalakkan terutama kekurangan bekalan getah disebabkan cuaca lembab di kebanyakan negara pengeluar getah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×