Pembeli projek sakit boleh tamatkan SPA

Pembeli projek sakit boleh tamatkan SPA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERBELI rumah yang menjadi projek sakit pasti memberi tekanan dan bebanan kepada pembeli yang harus menanggung komitmen bukan sahaja rumah sewa sementara menunggu rumah siap tetapi juga ansuran bulanan pembiayaan bank setiap bulan.

Penting bagi pembeli-pembeli ini untuk mengetahui hak mereka atau pilihan yang ada dari segi undang-undang supaya tidak terus dibelenggu dengan masalah tersebut.

Nazri Mustafa

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, secara umumnya, pembeli di bawah projek sakit boleh memilih untuk membatalkan perjanjian jual beli (SPA) menurut peruntukan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)1966 (Akta 188).

Selain itu, pembeli juga boleh memilih untuk menunggu projek tersebut disiapkan sekiranya ada alasan yang baik untuk berbuat demikian.

Sebagai contohnya, pemaju masih wujud, masih berkomunikasi dan memaklumkan cadangan seterusnya untuk menyiapkan projek atau tedapat tanda-tanda bahawa projek berkenaan mempunyai harapan untuk disiapkan.

Menurutnya, setelah projek disiapkan dan penyerahan kunci dibuat, pembeli boleh membuat tuntutan ganti rugi jumlah tertentu dan jumlah ganti rugi tertentu ini adalah terakru pada tarikh pembeli mengambil pemilikan kosong hartanah tersebut.

“Di bawah Seksyen 8A Akta 118, pembeli boleh menamatkan SPA sekiranya di dalam keadaan termasuk pemaju perumahan berlesen enggan menjalankan atau menangguhkan atau menggantung atau memberhentikan kerja untuk tempoh enam bulan atau lebih berterusan selepas pelaksanaan perjanjian jual beli (Seksyen 8A(1)(a).

“Bagi mengambil tindakan menamatkan perjanjian berdasarkan peruntukan ini, pembeli perlu mengemukakan bukti penangguhan pemajuan, mendapatkan kebenaran bertulis dari bank pembiayaan pembeli dan perakuan dari pengawal perumahan,” katanya di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nazri berkata, tiada jaminan boleh diberi berhubung keberkesanan langkah tersebut dan banyak bergantung kepada fakta kes dan bukti-bukti kukuh yang dikemukakan.

Jelasnya, peguam perlu dilantik dan ini melibatkan kos tambahan, selain tempoh masa yang perlu diambil sehingga kes selesai.

“Yang menjadi lebih mencabar ialah untuk berbincang dengan pihak bank untuk menangguhkan apa-apa bayaran faedah atau keuntungan bank untuk jumlah yang telah dibayar kepada pemaju.

“Ini bagi mengetahui sama ada status ke atas jumlah yang masih terhutang kerana wang pembiayaan telah dikeluarkan dan pasti ada pihak yang harus bertanggungjawab atas jumlah yang telah dikeluarkan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi mengelak daripada terbelenggu dalam projek sakit, bakal pembeli sepatutnya membuat semakan latar belakang pemaju yang akan membangunkan projek berkenaan.

“Jika sanggup untuk mengeluarkan kos, bakal pembeli boleh (mungkin secara berkongsi dengan beberapa prospek yang lain) melantik profesional untuk membuat siasatan latar belakang pemaju dan sedikit usaha wajar ke atas projek berkenaan.

“Antara profesional yang boleh dilibatkan ialah juru nilai, juru ukur dan peguam untuk membuat siasatan lanjut.

“Ada syarikat besar yang menubuhkan anak syarikat, khas untuk satu-satu projek dan ini mungkin memberi gambaran kurang tepat ke atas keupayaan pemaju. Bagaimanapun, para profesional yang bertanggungjawab boleh membantu dalam hal tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×