Nestlé sumbang 4,000 kotak makanan kepada mangsa banjir 

Nestlé sumbang 4,000 kotak makanan kepada mangsa banjir 

NESTLE Malaysia derma 4,000 kotak bantuan makanan asas untuk masyarakat di Pantai Timur yang terjejas akibat banjir pada musim tengkujuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé Malaysia terus menyumbang kepada usaha bantuan banjir Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSMM) dengan menderma 4,000 kotak bantuan makanan asas bagi meringankan beban masyarakat di Pantai Timur yang terjejas akibat banjir pada musim tengkujuh.

Kerjasama terbaharu ini menjadikan nilai keseluruhan yang disumbangkan kepada PBSMM berjumlah RM3.5 juta pada 2023, yang meliputi sumbangan kewangan dan barangan.

Dana tersebut telah digunakan untuk pelbagai tujuan seperti membeli peralatan penting, meningkatkan tahap kesiapsiagaan banjir dan menyokong inisiatif bantuan kemanusiaan tempatan dan global, termasuk sumber bagi Tabung Bantuan Kecemasan Palestin yang ditubuhkan oleh PBSMM.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, pihaknya komited untuk menyokong masyarakat Malaysia yang memerlukan menerusi pelbagai program dan menghulurkan bantuan.

“Menerusi kerjasama dengan PBSMM, kami berharap untuk menyokong masyarakat dan keluarga yang terjejas akibat musim tengkujuh, dengan meringankan beban dan memberi bantuan kepada mereka pada masa yang sukar ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan Nestlé Cares kami yang turut serta pada hari ini untuk membantu menyediakan 4,000 Kotak Bantuan Makanan,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Seramai 150 sukarelawan Nestlé Cares dan PBSMM telah berkumpul untuk mengisi 4,000 kotak bantuan makanan yang akan diagihkan kepada individu dan keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan rumah-rumah yang terjejas di seluruh Pantai Timur.

Sementara itu, Pengerusi PBSMM, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, pihaknya amat bersyukur atas sokongan berterusan Nestlé Malaysia lebih-lebih lagi pada saat-saat genting ini.

“Sumbangan yang dihulurkan dan penyediaan bantuan makanan sememangnya akan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

“Dalam keadaan krisis, kerjasama dan sokongan daripada syarikat korporat seperti Nestlé Malaysia amat dialu-alukan untuk membawa perubahan bermakna kepada kehidupan golongan yang memerlukan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN