NEGERI SEMBILAN JADI TARIKAN PEMBELI LUAR 

Negeri Sembilan jadi tarikan pembeli luar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOKASI yang strategik dan tawaran harga rumah yang berbaloi antara faktor ramai pembeli luar sudah mula membeli rumah di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, anggaran 50 peratus pembeli luar yang membeli rumah di negeri ini.

“Ini merupakan satu kelebihan dan kebaikan kepada kita. Ramai yang bekerja di Lembah Klang memilih untuk tinggal di sini.

“Ini baik untuk pertumbuhan ekonomi di sini dimana mereka akan berbelanja dan menghidupkan ekonomi kita,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Seremban, baru-baru ini.

Jelasnya, faktor lokasi yang berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya ELITE menjadi tarikan pembeli.

“Saya difahamkan keadaan saiz rumah di sini iaitu rumah teres yang mempunyai tanah serta kawasan perumahan yang dilengkapi pagar keselamatan menjadi tarikan kawasan sekitar Bandar Sri Sendayan, Nilai, Bandar Ainsdale dan Bandar Enstek.

“Sekarang pembeli sudah matang memilih rumah yang berpagar dan kawasan kejiranan yang lebih selamat,” katanya.

Tambah Arul Kumar lagi, harga rumah yang ditawarkan bermula RM400,000 hingga RM600,000 dilihat jauh lebih murah berbanding tawaran rumah Apartment di Lembah Klang.

“Mereka mahu kawasan bertanah dan memilih Negeri Sembilan disebabkan negeri ini merupakan kawasan yang paling berdekatan selain kemudahan pengangkutan seperti komuter dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sembilan telah memperkenalkan Program Rumah Harapan Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun lalu bagi membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri itu. Program tersebut telah bermula pada 2015.

Ia memberi kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk membina satu unit rumah untuk golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah di atas bidang tanah masing-masing.

Harga seunit rumah yang akan dibina adalah sebanyak RM85,000, manakala, amaun pinjaman pembiayaan oleh pemohon adalah sebanyak RM75,000 sahaja dan pinjaman pembiayaan ini adalah tanpa faedah dan bayaran balik selama 300 bulan (25 tahun).

Menurut J. Arul Kumar, kerajaan negeri akan membuka peluang kepada sesiapa mempunyai tanah sendiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Sejak tahun 2021 sehingga kini, terdapat 160 permohonan telah diluluskan bagi Rumah Harapan Rakyat dan tahun ini kita mempunyai peruntukan RM10 juta dan akan membina 120 unit rumah untuk tahun ini,” katanya.

Jelas beliau, antara kriteria pemohon rumah harapan tersebut adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 21 hingga 50 tahun, keutamaan yang sudah berkahwin, berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, pemohon dan pasangan tidak mempunyai rumah sendiri.

“Selain itu, pemohon perlu memiliki tanah hak milik penuh atau perkongsian nama, keluasan tanah 2,500 kaki persegi  atau 232 meter persegi serta tanah untuk tapak rumah sedia untuk pembinaan (bentuk muka bumi rata dan boleh dimasuki oleh kenderaan berat),” katanya.

Melalui program ini hampir 100 orang telah memiliki rumah.

“Inisiatif kerajaan membolehkan mereka tidak perlu menyewa dan merupakan dasar kerajaan negeri ini yang membolehkan lebih ramai lagi. Saya menjangkakan dalam tempoh 10 tahun, dijangka 1,000 keluarga akan memiliki rumah sendiri melalui inisiatif ini,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Arul Kumar,  di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) terdapat Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Jempol yang msebanyak 100 Unit rumah teres dibawah KPKT.

“Selain itu, PPR Pantai juga dimana kerajaan negeri telah menyerahkan sebidang tanah kepada KPKT untuk membangunkan maksimum 700 unit rumah di Pantai, Seremban yang berkonsepkan Apartment dijangka akan dimulakan pada tahun depan.

“Projek yang sedang dilaksanakan di PPR rembau iaitu kini, hampir 80 peratus sudah siap iaitu 452 unit.  Satu lagi projek iaitu PPR Tanah Merah, Port Dickson melibatkan 100 unit. Jumlah keseluruhan adalah 1,300 unit dalam bagi empat daerah PPR ini,” katanya.

Dalam pada itu, perluasan kampung akan dilaksanakan di Kampung Pachitan, Port Dickson.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan akan sediakan tapak dan infra rumah perlu dibina oleh mereka sendiri sebagai salah satu program yang baharu malah, dalam belanjawan tahun depan juga terdapat peruntukan sebanyak RM4 Juta untuk penyelenggaraan dan menaik taraf infra rumah awam kerajaan seperti di PPR Senawang,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan memberikan tumpuan pada pembinaan rumah jenis Type A dan rumah mampu milik type A,B,C daripada pihak swasta.

“Selain itu, terdapat pembukaan bandar baharu di kawasan aman Lembah Wawasan (MVV) 2.0 dimana projek perumahan dan perindustrian dimana itu adalah kawasan bandar baharu termasuk di Bandar Hamilton, Nilai.

“Antaranya dua pembangunan kawasan bandar baharu yang tentu akan ada kombinasi perumahan dan industri seperti di MVV iaitu melibatkan Nilai, Labu dan Port Dickson.

“Di Hamilton City, Nilai pula, kita telah mewujudkan peluang pekerjaan dimana sebuah perindustrian disediakan Rakyat akan dapat bekerja dan tinggal di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN