Bagi yang berpengalaman dalam dunia dua roda, sudah tentu dapat mengagak sekiranya motosikal tersebut datangnya dari Itali, ia bakal mempamerkan rupa bentuk yang unik, serta kehebatan kejuruteraan mekanikal dan elektronik dalam pakejnya.
Maka apabila jenamanya ialah MOTO GUZZI, ia bukanlah suatu yang pelik lagi apabila model terbaharu yang dilancarkan pada Jun lepas, adalah satu model yang agak lain daripada motosikal-motosikal yang berada di pasaran.
Sebagai sebuah jenama yang telah wujud sejak 1921, dan kini dimiliki oleh kumpulan PIAGGIO yang juga turut memasarkan jenama Itali yang begitu terkenal iaitu VESPA, MOTO GUZZI sebelum ini lebih menampakkan penampilan motosikal-motosikal retro dalam rekaannya. Walaupun dengan pengenalan sebuah model lasak (adventure) moden seperti V85 TT, ia masih tidak dapat lari daripada imej tersebut.
Sekitar Jun yang lalu, Didi Resources Sdn. Bhd., selaku pengedar tunggal jenama Moto Guzzi di Malaysia, mengetengahkan sebuah model Roadster untuk pasaran tempatan, iaitu V100 Mandello. Model ini didatangkan dengan dua variasi iaitu Standard yang dipasarkan pada harga RM99,900 dan versi S dipasarkan pada harga RM115,900, yang mana kedua-dua tanda harga ini adalah tanpa cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran JPJ.
Saya telah dibekalkan dengan seunit versi Standard untuk tungganguji. Maka inilah hasil daripada sesi tersebut.

REKA BENTUK
Secara amnya, ia memaparkan sebuah motosikal yang menggabungkan elemen motosikal jalanan dan juga keselesaan motosikal touring. Jika ingin dinilai dari segi reka bentuk motosikal “roadster” yang sudah tentu dikaitkan dengan kebolehan memecut atas lebuh raya, reka bentuk aerodinamik telah diadaptasikan kepada rekaan ‘fairing’nya.
Terdapat bahagian penghadang angin yang berada di kiri kanan tangki bahan api yang akan ‘mengepak’ ketika kelajuan tinggi, ini memberikan lebih perlindungan daripada tujahan angin terhadap penunggangnya. Rekaan ini dikatakan sebagai yang pertama seumpamanya untuk sebuah motosikal jalanan.
Mempunyai kebolehan memecut adalah satu kehebatan jentera ini, tetapi kebolehannya memberikan keselesaan kepada kedua-dua penunggang dan pembonceng sekaligus, adalah suatu yang jarang-jarang kita temui.
Pelananya yang empuk, sama ada depan atau belakang, amat saya sukai dan membuatkan kita ingin terus berjam-jam menunggang V100 Mandello ini. Bahagian pelana ini seolah-olah seperti pelana RXZ yang kelihatan seperti melindungi bahagian hujung tangki minyak daripada mudah tercalar dengan kepala tali pinggang penunggangnya atau zip jeket dan sebagainya.
Lampu-lampunya, selain menggunakan DRL dan lampu-lampu LED, ia dilihat agak terang dengan sinaran putih, malah, lampu DRL (Daytime Running Lights), seperti lambang seekor burung sedang terbang. Itulah norma motosikal berjenama dari Itali, jarang melupakan nilai seni dalam fungsi kejuruteraannya.
Sementara itu, enjinnya yang begitu pelik dipandang menarik perhatian ramai. Ketika menghidupkan enjin, terasa goncangan enjinnya seketika, dan kemudian ia seolah-olah seperti kucing sedang berdengkur di celah kaki anda. Ketika ada jenama motosikal lain yang menggunakan enjin silinder berkembar, sama ada konsep berkembar selari, V berkembar 90 darjah atau enjin ‘boxer’ yang mempunyai kepala silinder yang mendatar dan berlawanan arah kiri dan kanan, lain ceritanya dengan Moto Guzzi.
Moto Guzzi V100 Mandello ini seolah-olah memusingkan enjin V twin secara mengiring dan membiarkan kedua-dua kepala enjinnya `tercapang’ menjenguk di antara casis motor. Rekaan ini kerap menjadi perdebatan antara peminat-peminat dua roda.

PENUNGGANGAN
Seperti model-model Moto Guzzi yang lain, model ini juga terasa berat di hadapan. Saya menjangkakan perasaan ini adalah kerana aturan blok-blok enjin yang melintang di belakang penyerap hentakan hadapan. Bukan itu sahaja, kalau dilihat daripada mata kasar, enjinnya agak besar, seolah-olah sama besar dengan enjin kereta. Terlanjur pula penggunaan pacuan terakhirnya menggunakan ‘Drive Shaft’, maka seolah-olah V100 ini menggunakan enjin kereta.
Pengendalian ketika kesesakan jalan raya akan terasa sedikit mencabar oleh kerana faktor ini, namun sekiranya perlu untuk ‘mencilok’ di antara barisan kenderaan dalam kesesakan, menurunkan kedua-dua kaki (dengan hampir mencecah jalan), mampu membantu mengimbangkan V100 ini.
Dalam keadaan kelajuan yang tinggi sedikit ketika atas lebuh raya, saya merasakan kotak gear V100 ini sangat efisien sekali dalam setiap pertukaran gearnya. Lembut, tanpa ada rasa timbal balik yang kasar, serta mudah mengatur kelajuan mengikut keselesaan tahap kelajuan anda. Apa pun, saya merasakan keseronokan ini akan lebih berganda sekiranya sistem kotak gearnya disertakan dengan ‘quick shifter’. Namun setelah membaca keseluruhan spesifikasinya, hanya model Mandello Versi S yang dilengkapi dengan sistem Q/S ini.
Membicarakan sistem breknya pula, penggunaan jenama Brembo monoblok sudah cukup membuktikan kebolehannya, namun untuk V100 Mandello ini, saya agak sedikit terganggu dengan tuas brek yang agak menyentap apabila ditarik tuas breknya, walau dengan hanya dua jari. Kejutan tindakan cengkaman brek sekaligus membuat suspensinya menurun ke bawah secara drastik. Tindakan ini dipanggil ‘dive’ dan saya terpaksa mengubah sedikit cara menunggang dan menarik tuas brek di bahagian pangkal dan bukan hujungnya bagi mengelak ‘henjutan’ kuat ketika menggunakan brek.

KESIMPULAN
MOTO GUZZI V100 MANDELLO, bukan untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam arena dua roda. Bukan kerana prestasi enjinnya yang tidak dapat anda `jinakkan’, tetapi, ia adalah sebuah motosikal yang memerlukan kekuatan fizikal dalam pengendaliannya (kerana ia agak berat), sistem suspensi agak baik tetapi ia tidak sehebat suspensi sebuah motosikal sport. Versi Mandello S bagaimanapun, didatangkan dengan suspensi jenis separa aktif Ohlins Smart EC 2.0 (suspensi elektronik), mungkin memberikan penyerapan hentakan yang lebih efisien.
Sebagai kesimpulan, motosikal Itali ini selalunya sama ada disukai atau dibenci oleh pencinta motosikal, jarang yang berperasaan di tengah-tengahnya. Kepada pencinta teknologi dan rekaan dari Eropah, terutamanya dari Itali, anda akan menyukai V100 ini.
Kepada mereka yang masih kekal penyokong tegar jentera-jentera dari negara matahari terbit, V100 Mandello mungkin bukan pilihan pertama anda, dan saya sarankan, janganlah menunggang ujinya, takut nanti anda tersuka, payah nak lupakan tanda harga yang mencecah RM100,000 itu. – UTUSAN










