PETALING JAYA: Aspek halal antara elemen penting yang dititik beratkan dalam masyarakat Islam bukan sahaja dalam pemilihan produk makanan dan minuman, sebaliknya meliputi keseluruhan aspek gaya hidup termasuk aurat.
Menyedari kepentingan halal yang sering dibahaskan, pusat jagaan wanita berpantang Narqes Wellness Confinement Centre mengambil pendekatan dengan memfokuskan konsep perkhidmatan patuh syariah.
Menurut Pengarah Narqes Wellness Sdn. Bhd., Narqes Mohd Raimi, konsep tersebut kini menjadi tumpuan bagi masyarakat di negara ini yang mementingkan penggunaan bahan suci dan bersih serta penjagaan aurat ketika menjalani rawatan berpantang.
“Apa yang membezakan kita di tempat lain ialah bukan sahaja daripada segi penyediaan makanan halal, tetapi turut melibatkan rawatan tradisional serta penjagaan aurat selain penggunaan bahan yang mematuhi syariah.
“Ini kerana apabila memperkatakan tentang Islam, ia meliputi semua termasuk kaedah rawatan seperti berurut contohnya yang membabitkan aurat wanita. Sebab itu tidak boleh sambil lewa dan perlu titik beratkan keseluruhan aspek,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pusat jagaan yang berkeluasan 6,000 kaki persegi mampu menampung kapasiti sehingga tujuh orang ibu berpantang pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, Narqes berkata, pusat tersebut baru beroperasi tahun ini dengan melibatkan kos lebih RM1 juta.
“Semua kaedah dan rawatan daripada kita sendiri dan tidak menggunakan modul dari mana-mana negara Islam seperti Arab Saudi. Apatah lagi di negara lain mereka tidak ada pusat penjagaan wanita bersalin seperti di Malaysia.
“Malah kebanyakan masyarakat di luar seperti Amerika Syarikat (AS) sangat teruja dengan kaedah rawatan dan penggunaan bahan-bahan terutama herba dan halia dalam rawatan berpantang selepas mengetahui khasiatnya,” jelasnya.
Narqes dalam masa yang sama berkata, pihaknya sedang merancang untuk membuka cawangan lain dalam masa terdekat.
“Kita mempunyai bangunan sendiri di Bangi dan sedang merancang untuk membuka cawangan di sana nanti,” katanya. –UTUSAN










