LADA, BioAlpha jalin kerjasama bangunkan Taman Agro Langkawi

LADA, BioAlpha jalin kerjasama bangunkan Taman Agro Langkawi

HAIM Hilman Abdullah (belakang, tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara LADA dan BioAlpha Wellness bagi membangunkan Taman Agro Langkawi di Kompleks LADA, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan BioAlpha Wellness Sdn. Bhd. bagi membangunkan Taman Agro Langkawi yang bernilai RM15 juta, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, taman agro tersebut akan dibina di Kuala Sungai Melaka, Padang Matsirat.

“Kawasan ini kali terakhir dibangunkan ketika Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) atau lebih tepat kira-kira 20 tahun lepas.

“Apabila dibangunkan nanti, kawasan ini akan menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat di samping menjadi satu lagi tarikan pelancongan baharu,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut di Kompleks LADA, di sini, hari ini.

Mou tersebut ditandatangani antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin dan Ketua Pegawai Eksekutif BioAlpha Wellness, Hon Tian Kok.

Menurut Haim Hilman, taman agro tersebut akan menjadi tapak semaian, tuaian dan memproses herba tempatan seperti misai kucing, hempedu bumi dan rosel.

Jelasnya, taman agro berkenaan berkonsepkan pengalaman atau experience based tourism di mana pelancong akan turut merasai pengalaman menuai sendiri herba-herba tersebut.

“Langkawi mempunyai banyak prospek hebat di mana ada acara bertaraf antarabangsa yang dijalankan dan merupakan satu jenama yang perlu kekal relevan dalam industri pelancongan dengan mengetengahkan tarikan baharu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×