Kuota bantu pemilikan hartanah bumiputera 

Kuota bantu pemilikan hartanah bumiputera 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERDAPAT beberapa jenis milikan tanah di Malaysia antaranya lot bumiputera, tanah rizab Melayu, tanah pegangan bebas (freehold) dan pegangan pajakan (leasehold).

Lot bumiputera yang turut dikenali sebagai `lot bumi’ merupakan hak eksklusif untuk golongan bumiputera merangkumi Melayu, Sabah dan Sarawak dan Islam bukan Melayu di Malaysia.

Ini bermaksud, golongan bukan bumiputera tidak boleh memiliki rumah lot bumi tersebut.

Secara asasnya, setiap pembangunan hartanah baharu memperuntukkan peratusan tertentu kepada kaum bumiputera di bawah kategori itu.

Dalam erti kata lain, ada kuota tertentu yang diperuntukkan kepada kaum bumiputera bagi setiap pembangunan baharu, sebagai contoh di Kuala Lumpur, setiap hartanah wajib memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus lot bumi.

Peruntukan lot bumi membolehkan golongan bumiputera peluang untuk mengumpul aset dan memperluaskan taburan penduduk. Selain itu, lot bumi juga biasanya menawarkan diskaun dan rebat eksklusif yang banyak.

Bagi Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, kuota bumiputera diwujudkan untuk meningkatkan peratusan pemilikan tanah oleh masyarakat bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Kuota ini adalah terpakai kepada harta kediaman dan komersial sahaja. Walaupun Dasar Ekonomi Negara (DEB) telah pun melebihi 50 tahun, dasar yang diguna pakai bermula pada 1971 termasuk mewujudkan kuota lot bumi, iaitu unit tanah atau hartanah, yang hanya boleh dibeli dan dimiliki oleh bumiputera.

“Bagaimanapun, lot bumi tidak sama dengan tanah rizab Melayu yang hanya boleh dimiliki dan dipegang oleh orang Melayu se­perti dinyatakan di bawah Enakmen Rizab Melayu 1913.

“Selain itu, lot bumi adalah lebih murah daripada lot biasa (terbuka kepada semua), biasanya potongan sekurang-kurangnya lima sehingga 15 peratus potongan, iaitu diskaun minimum wajib yang ditawarkan kepada bumiputera ke atas hartanah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, lot bumi hanya boleh dibeli dan dimiliki oleh bumiputera.

“Walau bagaimanapun, lot ini boleh dijual kepada bukan bumiputera. Namun, melibatkan proses yang panjang dan banyak prosedur termasuk kelulusan kerajaan negeri. Oleh itu, diskaun bumiputera juga akan berbeza antara pelbagai negeri,” katanya.

Jelas beliau lagi, peratusan bagi lot bumi di setiap negeri  adalah berbeza kerana ditentukan oleh komposisi penduduk kawasan dan perancangan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ini mungkin sebab sesetengah negeri mempunyai peratusan dan diskaun lot bumi yang lebih tinggi kerana lebih ramai penduduk bumiputera dan golongan berpendapatan B40.

“Sememangnya, banyak kekurangan dari pemaju iaitu akan terdapat permintaan rendah untuk lot bumi kerana pasaran terhad, terutamanya di kawasan bandar.

“Tetapi, sekiranya strategi pemaju hartanah menyediakan pakej bumiputera, sebenarnya adalah langkah yang baik terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, misalnya di Shah Alam, Banting dan Sungai Buloh. Ini adalah pelaburan yang baik kerana terdapat permintaan yang tinggi jika pemilik bercadang untuk menyewakan atau menjualnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi lot pajakan bumi tanpa sekatan, ia biasanya tertakluk kepada kelulusan yang lebih mudah oleh pejabat tanah apabila menjual kepada pembeli bukan bumiputera.

“Ini adalah insentif yang boleh kerajaan laksanakan untuk memperbaiki unit lot bumi yang tidak terjual.

“Tidak dinafikan dari segi kenaikan modal, nilai lot bumi lambat meningkat kerana kawasan yang dibina adalah di luar bandar dan menyebabkan permintaan yang rendah,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN