PEMAJU hartanah, LBS Bina Group Bhd. (LBS) menyarankan agar kerajaan melakukan kajian menyeluruh bagi memahami impak sebenar kuota bumiputera terhadap pembangunan projek.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. (Dr). Lim Hock San berkata, pihaknya menyokong cadangan untuk menambah baik kuota bumiputera jika perubahan tersebut dapat memberikan keadilan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kami harus menekankan pentingnya kerjasama antara pihak industri dan kerajaan dalam merangka dasar yang seimbang dan adil untuk semua pihak terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Selaku antara syarikat pemaju yang telah lama bertapak, LBS turut menyediakan kuota bumiputera bagi projek-projek perumahannya.
“Kuota bumiputera banyak membantu kami dalam meningkatkan penjualan projek-projek perumahan di bawah LBS Bina Group Berhad.
“Sebagai contoh, projek Residensi Bintang Bukit Jalil yang terletak di Bukit Jalil mempunyai 30 peratus kuota bumiputera, manakala Prestige Residence di Seri Kembangan, Selangor menyediakan 50 peratus kuota bumiputera,” jelasnya.
Setakat ini, bagi projek Prestige Residence terdiri daripada 1,450 unit, sebanyak 37 peratus unit bumiputera telah pun terjual daripada 50 peratus kuota yang disediakan.
Hock San menjelaskan, sebagai salah sebuah pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, LBS turut mengambil kira kuota bumiputera. Ia juga merupakan antara faktor utama yang mendorong sentimen pembelian rumah.
“Faktor lain yang mempengaruhi ialah inklusiviti dalam perumahan termasuk kemudahan awam, infrastruktur dan keperluan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Rahana Abdullah memberitahu, KHSB sangat menyokong dasar kuota bumiputera kerana boleh mengimbangi demografik penduduk di setiap projek perumahan.
“Dasar kuota bumiputera di Selangor adalah sekitar 30 hingga 50 peratus bergantung kepada jenis hartanah yang dimajukan.
“KHSB berpandangan setiap pembangunan haruslah menetapkan sekurang- kurangnya 30 peratus kepada bumiputera.
“Setakat ini, tiada statistik yang khusus, namun Pusat Maklumat Harta Tanah Negara atau NAPIC mempunyai statistik mengenai hartanah yang tidak terjual dan sudah dijual,” katanya.
Jelasnya, secara umum, rumah yang dikategorikan di bawah kuota bumiputera tidak terjual kerana harganya yang agak tinggi.
“Selain harga rumah, keupayaan pembeli bumiputera untuk mendapatkan kemudahan pinjaman daripada pihak bank juga menjadi faktor penyebab unit bumiputera tidak dapat dijual,” katanya.
Jelas beliau, Dasar Kuota Bumiputera sangat membantu pembeli bumiputera untuk memiliki hartanah kediaman terutamanya rumah mampu milik.
“Kebiasaannya golongan bumiputera memerlukan masa yang lebih sedikit untuk menyediakan deposit rumah idaman mereka. Tanpa kuota, pemaju akan terus menawarkan unit-unit tersebut kepada mereka yang lebih berkemampuan.
“Skim Mydeposit adalah peluang terbaik untuk membantu golongan bumiputera untuk segera membuat tempahan rumah idaman,” katanya.
Tambah Rahana, KHSB berpandangan Dasar Kuota Bumiputera harus dikekalkan dan mampu milik.
“Maksud mampu milik bagi setiap kawasan adalah berbeza-beza mengikut pendapatan isi rumah penduduk setempat yang dipengaruhi lokasi seperti bandar atau luar bandar, kejiranan setempat serta kemudahan setempat.
“Dari segi penambahbaikan kuota adalah dengan menaikkan siling pendapatan isi rumah bagi bumiputera atas hartanah mampu milik, pembeli rumah kedua dibenarkan untuk memiliki hartanah mampu milik dan memberikan kemudahan bayaran flexi untuk membantu bumiputera menyediakan deposit pembayaran,” katanya.-UTUSAN










