WALAUPUN mewarisi perniagaan import dan eksport hasil laut dan merupakan generasi ketiga legasi perniagaan tersebut namun seorang belia di sini masih turun menjalankan perniagaan makanan laut di jalanan.
Anak muda tersebut, Muhammad Hilmee Roslan, 35, memilih untuk membuka gerai makanan laut bakar di jalan pesisir laut Kuala Sungai Baru di sini dengan memberi fokus kepada pelbagai siput laut bakar untuk dinikmati para pengunjung.
Malah, hasil usahanya itu, purata jualan kasar hasil laut bakar berkenaan mampu mencecah sehingga RM8,000 sepanjang hari Jumaat hingga Ahad bermula pukul 4 hingga 7 petang.
Katanya, perairan Perlis memiliki hasil laut yang berkualiti tinggi terutamanya pelbagai jenis siput laut seperti mentarang yang mempunyai rasa lebih enak berbanding lokasi lain disebabkan dasarnya berlumpur dan sesuai untuk habitatnya.
“Saya merupakan anak negeri ini dan daripada dahulu lagi melihat penduduk kampung mencari siput mentarang yang menjadi sumber pendapatan mereka sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, tiada usaha mempromosikan mentarang sebagai ikon makanan laut Perlis dan tidak ramai yang tahu keenakan rasa dan aroma harum mentarang bakar yang juga makanan kegemaran kebanyakkan rakyat negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui Kuala Sungai Baru di sini baru-baru ini.
Justeru, dia terpanggil untuk membantu mempromosikan mentarang bakar serta pelbagai jenis hidupan laut bercengkerang lain seperti siput retak seribu, siput harimau, siput paha ayam, siput kemudi dan banyak lagi.
Menurut Muhammad Hilmee, selain pelbagai jenis siput, dia turut menjual hasil laut lain seperti tiram segar, sotong kurita dan juga lobster pada harga mampu milik kepada pengunjung kawasan itu.
“Saya baru sahaja memulakan perniagaan makanan berasakan hidupan laut bakar ini sejak November lalu namun terbukti berjaya menarik ribuan pelancong luar dari luar Perlis biarpun Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 belum bermula,” katanya.
Katanya lagi, disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan itu, dia membuat keputusan untuk membuka gerai Ghatah Siput Bakaq setiap hari sepanjang cuti sekolah ini pada waktu yang sama.
Menurut anak kelahiran Kampung Batas Lintang, Simpang Empat di Kangar itu, dia menjual satu set mengandungi lima hingga enam ekor mentarang pada harga RM10 sahaja bergantung kepada saiz manakala set campuran pelbagai jenis siput lain pada harga RM15.
“Kami juga menjual ‘lobster’ hanya pada harga RM20 bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri keenakan makanan laut tersebut selain sotong kurita bakar yang menjadi trend serta kegemaran anak muda,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia turut melakukan inovasi dengan menjual sate mentarang dengan menggunakan perapan dan ramuan khas bagi menghasilkan hidangan istimewa dengan rasa lazat yang cukup unik.
Ketika ditanya apakah faktor utama menyebabkan dia membuat keputusan menceburi perniagaan ‘street food’ itu, Muhammad Hilmee memberitahu bahawa potensi jualan makanan laut sangat tinggi selain mahu membuka mata masyarakat setempat mengenai khazanah laut Perlis.
Tambah anak sulung daripada empat beradik itu, dia memegang prinsip bahawa kejayaan sebenar bukanlah wang ringgit namun manfaat yang diperoleh orang ramai itulah kejayaan sebenar buat dirinya.
Menurut Muhammad Hilmee, Kuala Perlis sudah cukup popular dengan kelazatan ikan bakar, namun dengan mempromosikan pelbagai jenis siput bakar di Kuala Sungai Baru, ia adalah satu usaha kecilnya membantu mempromosi TMPs 2024/2025 selain menambah produk baharu sektor pelancongan negeri.
“Kawasan Kuala Sungai Baru juga tidak banyak berbeza dengan Kuala Perlis malahan turut menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati suasana dan panorama indah matahari terbenam di sebalik Pulau Langkawi.
“Saya turut bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Razali Saad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Wilayah Ekonomi Baharu negeri, Wan Zikri Afthar Ishak bagi menyuarakan hasrat membangunkan kawasan ini dan menerima maklum balas positif daripada mereka,” jelasnya.
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Muhammad Hilmee berkata, dia mempunyai rancangan untuk membuka sebuah kawasan tumpuan pelancong berkonsepkan ‘beach camp cafe’ di Kuala Sungai Baru.
“Biasanya konsep ini banyak terdapat di Bali, Indonesia dan kawasan pelancongan pesisir pantai di Thailand namun belum ada lagi konsep sedemikian di negeri ini.
“Saya bercadang untuk mendirikan sebuah premis di kawasan ini di mana ibu bapa secara santai boleh menjamu selera manakala anak-anak pula bermain pasir yang bagus,” katanya.-UTUSAN










