PETALING JAYA: SEIBU, gedung serbaneka mewah Jepun, dibuka di The Exchange, TRX menandakan pencapaian penting dalam landskap industri peruncitan Malaysia.
SEIBU dalam kenyataan berkata, pelaburan kolektifnya melebihi RM150 juta dengan objektif untuk mewujudkan destinasi membeli-belah peringkat teratas di Malaysia.
“SEIBU juga bersedia menyediakan peluang pekerjaan bagi tenaga kerja 1,000 orang,” katanya.
Merasmikan gedung itu ialah Duta Besar Jepun ke Malaysia; Takahashi Katsuhiko. Turut hadir, Pengerusi SEIBU KL; Datuk Alfred Cheng; Pengerusi SOGO KL; Datuk Khadar Merican; Timbalan Pengerusi SOGO KL; Datuk Andrew Lim, dan Pengarah Projek The Exchange TRX dan Ketua Runcit Lendlease Malaysia; Mitch Wilson.
SEIBU mempunyai empat tingkat bersaiz 265,000 kaki persegi dan mempamerkan koleksi hebat lebih daripada 700 jenama mewah dan antarabangsa.
“Lebih daripada 100 jenama ini membuat kemunculan sulung mereka di pasaran Malaysia secara eksklusif di SEIBU.
“Antaranya, Fred, Paris, Damiani, Niessing, Pierre Hardy, dan pelbagai nama terkenal lain,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan SEIBU KL, Nobuharu Yutani berkata, SEIBU adalah kedai serbaneka pertama yang mempamerkan koleksi jenama fesyen kontemporari.
Tambah Yutani, SEIBU telah membawa idea-idea baharu dengan kerjasama Hiroko Takahashi, pereka dan artis terkenal dari Jepun.
“Hiroko akan mereka bentuk koleksi fesyen khas untuk SEIBU dan telah mereka pakaian seragam kakitangan SEIBU, pembungkusan kedai, barangan hadiah dan elemen kontemporari yang lain,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, SEIBU KL direka oleh arkitek UK HMKM dan Cardy Papa.
“Konsep reka bentuk menitikberatkan pada kemewahan dan keanggunan, menciptakan suasana kegembiraan dan penerokaan di pelbagai bahagian,” katanya
Dalam pada itu, Yutani berkata, SEIBU mengalu-alukan kedatangan semua pembeli ke SEIBU dan berhasrat menyediakan perkhidmatan ‘omotenashi’ terbaik dengan cara Jepun. – UTUSAN










