PETALING JAYA: ELBA melancarkan keluaran koleksi Mastro merangkumi peti sejuk, penyedut asap, dapur gas terbina dalaman, ketuhar terbina dalaman, laci penghangat dan dapur masakan professional, bagi sasaran pengguna pasangan muda.
Pengarah Urusan ELBA, Tok S.M berkata, komitmen terhadap inovasi itu menekankan dedikasi ELBA bagi meningkatkan kehidupan pelanggan menerusi produk termaju terutamanya pasangan muda yang berkeluarga.
“Koleksi ini memfokuskan aspek “Memasak dan Penyejukan” yang menonjolkan kepakaran dan kecanggihan ELBA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengalaman ELBA bersama media.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Fiamma Holdings Berhad; Jimmy Tan Chee Wee dan Pengarah Urusan Kumpulan Fiamma Holdings Berhad; Chiau Haw Choon.
Tambah Tok S.M, komitmen ELBA terhadap inovasi dan kualiti ditonjolkan melalui tawaran terkininya.
“Bagi penyedut asap dan dapur gas mempunyai teknologi ‘hob link’ yang digabungkan teknologi penapis plasma dan ketuhar terbina dalaman mempunyai langkah terbina dan panel TFT.
“Selain itu, dapur memasak profesional pula dilengkapi resepi tersedia dan panel TFT, manakala laci penghangat direka untuk membolehkan pengguna menetapkan suhu hidangan yang sempurna,” katanya.
Bagaimanapun, Tok S.M berkata, ELBA turut membawakan siri peti sejuk berbilang pintu dan bukaan pintu bersebelahan yang menonjolkan sistem penyejukan empat zon serta mempunyai penyejukan logam.
“Kami meletakkannya sebagai harga premium berpatutan yang boleh dibeli oleh pengguna, sebagai contoh, peti ais kami bersaiz besar lebih murah berbanding harga pesaing lain yang lebih mahal,” katanya. – UTUSAN









