KANGAR: Siapa sangka dengan hanya memulakan perusahaan cenderamata dan baju korporat secara kecil-kecilan, Suhail Solution Sdn Bhd kini mampu mengembangkan perniagaannya itu secara lebih meluas.
Pada peringkat awal, pemiliknya yang juga merupakan Pengarah Urusan, Sazali Shafie, 60, hanya bekerja makan gaji bersama sebuah sebuah syarikat pengiklanan sekitar Alor Setar selepas menamatkan pengajiannya di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani dalam jurusan cat dan hiasan.
Bermula dari situ, Sazali kemudiannya diberi kepercayaan oleh majikannya untuk menguruskan cawangan syarikat berkenaan yang beroperasi di Perlis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sazali berkata, pada tahun 1986, dia kemudiannya memilih untuk membuka perniagaan pengiklanannya sendiri dengan bermodalkan wang sekitar RM3,000 hingga RM5,000.
“Selepas memulakan perniagaan ini, permintaan yang diterima daripada pelanggan kami semakin baik sehinggalah perusahaan ini mampu bertahan lebih tiga dekad dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Stadium, di sini.
Menceritakan lebih lanjut, Sazali berkata, pihaknya menyediakan pelbagai perkhidmatan meliputi cenderamata, baju korporat, papan tanda, trofi, plak, buku program dan pelbagai lagi mengikut pilihan pelanggan.
Ujar Sazali, pihaknya menerima sekitar 5,000 tempahan pada setiap bulan bagi menghasilkan cenderamata dan baju korporat malah keuntungan kasar diraihnya pada setiap bulan juga adalah antara RM80,000 sehingga RM100,000.
“Selain institusi pengajian, agensi kerajaan dan swasta di Perlis, kami juga menerima tempahan perkhidmatan daripada pelanggan luar seluruh Malaysia.
“Kami juga sentiasa memastikan perkhidmatan yang ditawarkan ini adalah mengikut peredaran zaman bagi memenuhi permintaan pelanggan pada masa kini,” katanya.
Dalam pada itu, Sazali berkata, buat masa ini, pihaknya mempunyai ribuan reka bentuk cenderamata yang dapat ditawarkan kepada pelanggan mereka dengan turut mengutamakan kualiti terbaik bagi setiap perkhidmatan.
Bapa kepada lima cahaya mata ini memaklumkan pihaknya juga mempunyai mesin-mesin percetakan berteknologi tinggi yang digunakan bagi menyediakan setiap tempahan pelanggan.
“Kemudahan mesin berteknologi yang kita gunakan adalah seperti mesin sulaman (embroidery), mesin percetakan digital, mesin heat press dan beberapa lagi,” katanya.
Di samping itu, Sazali berkata, buat masa ini, pihaknya mempunyai seramai 10 orang pekerja tetap dan beberapa kakitangan separuh masa yang membantu menyediakan tempahan pelanggan mereka.
Katanya, pihaknya mensasarkan untuk memonopoli pasaran dalam bidang pengiklanan ini di dalam dan luar negara pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan semasa.
“Sewaktu awal memulakan perusahaan ini, kami merupakan antara pelopor bumiputera terawal di Perlis yang menerokai bidang pengiklanan sehingga mampu untuk bertahan berpuluh tahun.
“Dan berikutan itu, saya juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perusahaan ini bukan sahaja di dalam namun juga luar negara,” katanya.
Selain aktif dalam bidang pengiklanan, Sazali berkata, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan pakej badal haji, wakaf Al Quran, badal umrah, bayaran dam, aqiqah dan korban.
Ujarnya, selain itu, terdapat juga pakej umrah sepanjang tahun ditawarkan dengan harga amat berpatutan.
“Kami juga menawarkan perkhidmatan wakaf kerusi roda, wakaf kerusi lipat dan sedekah makanan buat jemaah umrah serta haji,” katanya. –UTUSAN










