PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengumumkan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi 2023 pada hari ini.
Penganalisis ekonomi mengunjurkan kadar dividen yang lebih tinggi pada tahun ini, melebihi 5.0 peratus berbanding 4.6 peratus yang diumumkan pada 2022.
Jangkaan tersebut didorong oleh prestasi ekonomi semasa dan kadar inflasi yang menurun sekitar dua hingga tiga peratus.
Perkara ini juga mengambil kira peningkatan pertumbuhan positif keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dicapai setiap suku tahun pada tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bayaran dividen dijangka lebih baik pada tahun ini memandangkan keadaan ekonomi yang agak baik dan stabil.
“Walaupun pertukaran ringgit agak rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), namun perkara tersebut tidak mencerminkan keadaan ekonomi semasa di Malaysia.
“Saya jangkakan dividen tahun ini antara 4.5 hingga 5.2 peratus,” katanya di sini semalam.
Tahun lalu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Selain itu, ASNB turut mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB. –UTUSAN









