PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Abu Tariq Jamaluddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 17 Disember (semalam).
Beliau menggantikan Datuk Seri Dr. Mohd. Nizom Sairi yang telah tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 16 Disember 2023 selepas 38 tahun berkhidmat dan telah menyumbang kepada kecemerlangan organisasi.
Menurut HASiL, antara sumbangan signifikan beliau adalah memperkenalkan konsep AES (awareness, education and services) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan di HASiL.
“Ia bertujuan untuk membina kembali kepercayaan masyarakat terhadap sistem percukaian langsung negara,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, katanya, di bawah kepimpinan Mohd Nizom, HASiL telah merekodkan pencapaian kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah negara pada 2022, berjumlah RM175.4 bilion.
“HASiL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Nizom atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di HASiL. HASiL turut mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan Abu Tariq sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HASiL yang baharu,” katanya.
Tambahnya, Abu Tariq memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (LLB. Hons) daripada Universiti Malaya,
mula berkhidmat di HASiL pada 15 Mac 1995 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi perundangan dan pematuhan cukai.
Sebelum menjawat portfolio Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Abu Tariq pernah memegang beberapa jawatan penting di HASiL antaranya Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) dan Pengarah Jabatan Undang-Undang.
“Dengan pengalaman luas Abu Tariq ini sudah pastinya akan membolehkan HASiL mencapai visi untuk menjadi Pentadbir Cukai Terunggul selari dengan aspirasi membina Malaysia MADANI demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN










