KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-14 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun depan, merupakan peluang terbaik untuk Malaysia mengetengahkan kerangka Ekonomi Madani di peringkat antarabangsa.
Pengerusinya WIEF, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, forum membuka peluang kepada Malaysia ke peringkat global untuk menerangkan apakah kerangka Ekonomi Madani.
“Kita sediakan platform untuk mewujudkan kefahaman mendalam mengenai ekonomi Malaysia dan negara berkaitan di dunia dan ini peluang terbaik kepada negara mengetengahkan dasar yang dimiliki untuk menarik perhatian global secara lebih meluas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Yayasan WIEF, Tan Sri Mohd. Radzi Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Yayasan WIEF, Datuk Syed Abu Bakar S. Mohsin Almohdzar.
WIEF ke-14 akan berlangsung pada 6 dan 8 Februari 2024 di Abu Dhabi, akan memberi tumpuan kepada membentuk masa depan yang mampan dengan menangani cabaran utama.
Forum yang akan dihoskan oleh Jabatan Pembangunan Ekonomi Abu Dhabi (ADDED) akan diadakan di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC), UAE.
Jelas Syed Hamid, ekonomi tahun hadapan bakal berdepan cabaran besar, dan Malaysia memerlukan pelaburan masuk disebalik tekanan ekonomi global.
“Negara memiliki dasar pelaburan yang baik dan ini peluang terbaik untuk memanfaatkan peluang mengetengahkan potensi.
“Memandangkan ini adalah global forum yang memanfaatkan Malaysia dari aspek perdagangan dan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, WIEF Ke-14 akan menjadi platform dialog untuk isu komuniti global dengan pelbagai spektrum isu akan diperbincangkan.
“Forum pada kali ini kami menjangkakan ada resolusi akan dicapai,” katanya.
Bertemakan ‘Agenda Ekonomi Global: Membentuk Masa Depan Mampan’ forum itu akan menghimpunkan pemimpin, pakar, usahawan dan individu untuk membincangkan model inovatif, termasuk prinsip makroekonomi Islam.
Forum itu dijangka menarik lebih 2,500 peserta dari 80 negara termasuk pemimpin, peserta dan wakil media dari Asia Tengah, Asia Barat dan Asia Pasifik. – UTUSAN










