Vale sedia RM5.6 juta program pembangunan lestari di Manjung

Vale sedia RM5.6 juta program pembangunan lestari di Manjung

LEONARDO Paiva (kiri) bertukar dokumen dengan Syamsul Hazeman Md. Salleh pada majlis MoU Vale dan MPM disaksikan Sandrea Ng Shy Ching (tengah) di Manjung hari ini.- UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menjalin kerjasama dengan Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. (Vale) bagi melaksanakan program pembangunan bandar lestari di daerah Manjung melibatkan pembiayaan bernilai RM5.6 juta.

Pembiayaan oleh Vale bermula tahun ini sehingga 2025 itu antara lain melibatkan pembiayaan projek Kebun Komuniti Bandar (KKB) di tujuh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bernilai RM600,000.

Ia turut melibatkan peruntukan RM250,000 masing-masing di kawasan Pantai Teluk Batik dan pekan Beruas bagi menaik taraf kemudahan awam dan kecantikan dengan pembinaan objek seni, lukisan mural, seni jalanan serta aspek lain yang mampu menarik minat pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Vale, Leonardo Paiva menjelaskan, kerjasama itu sebagai usaha mencetuskan nilai lestari dalam kalangan masyarakat di daerah itu.

“Vale teruja untuk memulakan kerjasama dengan MPM bagi meningkatkan tahap kemajuan di daerah ini melalui projek berteraskan komuniti yang membawa nilai tambah jangka panjang,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara Vale dan MPM di Seri Manjung, di sini hari ini.

Leonardo menandatangani MoU itu bagi pihak Vale, manakala Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh, mewakili MPM. Majlis disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Pada sidang media kemudiannya, Syamsul Hazeman memberitahu, projek lain yang akan dibuat menerusi MoU itu antaranya seni coretan jalanan (doodle art street) di kawasan Manjung lama, program larian di pekan Beruas serta program berkaitan pendidikan dan pembangunan perbandaran.

Jelasnya, jika sebelum ini program CSR Vale sejak 2011 meliputi sekitar kawasan Seri Manjung, kini menerusi MoU tersebut, syarikat perlombongan terkemuka dunia itu bersetuju meluaskan CSR ke seluruh daerah Manjung.

Menurutnya, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada MPM memberi ‘sentuhan baharu’ kepada pekan Beruas terutama bangunan rumah kedai yang berusia lebih 100 tahun, bagi menjadikannya lebih menarik untuk masyarakat setempat serta menarik kehadiran pelancong.

Sandrea pula menyifatkan kerjasama dijalin MPM bersama Vale iaitu MoU kedua dengan pihak luar selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak baru-baru ini, mampu meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan dan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×