PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) melaporkan peningkatan 20 peratus keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM28.6 juta bagi tempoh berakhir 30 September 2023, daripada RM23.9 juta suku sama tahun sebelumnya.
Keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) THP meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM17.6 juta daripada RM14.4 juta suku sama tahun lepas.
Menurut syarikat perladangan milik Lembaga Tabung Haji itu, pendapatan bagi suku ketiga meningkat kepada RM216.6 juta daripada RM213.3 juta tempoh sama tahun lalu disokong oleh volum jualan Buah Tandan Segara (BTS) yang lebih tinggi walaupun purata harga realisasi produk sawit dan pengeluaran sawit rendah sedikit.
Pendapatan yang lebih baik pada suku ketiga juga disumbangkan oleh nilai saksama yang lebih tinggi bagi aset biologi berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, prestasi Kumpulan akan terus didorong oleh pengeluaran BTS dan pergerakan harga minyak boleh dimakan global.
Katanya, pengeluaran keseluruhan BTS dan MSM syarikat dijangka akan meningkat pada suku keempat 2023.
“Kami akan terus mengambil semua langkah yang perlu untuk menambah baik asas-asas Kumpulan termasuk mengoptimumkan inisiatif pengilangan, penyatuan, penjenteraan dan inisiatif transformasi di semua ladang dan kilang untuk mengukuhkan kecekapan keseluruhan dan pengurusan kos,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, margin produk minyak sawit dijangka kekal stabil pada paras semasa sehingga akhir tahun, berikutan penggunaan tempatan yang kukuh di Malaysia dan Indonesia, serta kebimbangan cuaca kering di Brazil dan Indonesia, walaupun permintaan yang kurang memberangsangkan dan stok yang lebih tinggi di Malaysia.
“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, Kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2023 dan optimis bahawa strategi dan inisiatif semasa mampu menangani isu dan cabaran yang berterusan serta mengekalkan kos efektif,” jelasnya. – UTUSAN










