PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan pertumbuhan dua kali ganda keuntungan sebelum cukai (PBT) RM228.5 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2023 daripada RM114.3 juta yang direkodkan pada suku suku kedua lalu.
Prestasi kukuh ini dipacu oleh segmen pembangunan hartanah, didorong oleh jualan produk-produk perumahan dan perindustrian yang lebih tinggi serta peningkatan kemajuan di tapak-tapak pembinaan.
Pada suku yang sama, syarikat merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 52.4 peratus kepada RM1.0 bilion berbanding RM688.9 juta pada suku kedua tahun kewangan yang sama.
Bagi sembilan bulan pertama pula, syarikat melaporkan PBT sebanyak RM440.7 juta dan
keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM276.7 juta.
Jumlah tersebut masing-masing melibatkan peningkatan sebanyak 36.4 peratus and 30.1 peratus berbanding RM323.1 juta dan RM212.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan Sime Darby Property sembilan pertama pula direkodkan sebanyak RM2.42 bilion, peningkatan sebanyak 35.8 peratus berbanding RM1.78 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2022.
Syarikat juga mencatatkan jualan sebanyak RM2.5 bilion sepanjang tempoh terbabit dan berada pada landasan yang tepat untuk melangkaui sasaran jualan tahun kewangan 2023 iaitu sebanyak RM2.7 bilion.

Mengulas mengenai prospek industri, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, menjangkakan industri hartanah terus berdepan cabaran berikutan kelemahan ringgit serta lonjakan harga bahan mentah global
Jelasnya, cabaran tersebut juga memberikan tekanan kepada margin keuntungan syarikat hartanah termasuk Sime Darby Property.
“Turun naik harga bahan mentah disebabkan nilai mata wang menyebabkan banyak kontraktor utama lebih berhati-hati. Kita dapat melihat harga simen, bahan utama dalam pembinaan meningkat tahun ini. Ia menjadikan industri kini dalam situasi tekanan kos yang melonjak.
“Tekanan lain adalah sebagai pemaju hartanah adalah ingin jual produk hartanah pada harga yang tepat dan memastikan jualan itu juga berjaya,” katanya dalam sidang media keputusan kewangan bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 di sini semalam.
Tambahnya, kejayaan konsisten produk-produk kediaman bertanah, kediaman bertingkat dan perindustrian juga jelas menunjukkan sambutan positif daripada pasaran terhadap hala tuju dan pembangunan produknya yang strategik.
“Kami telah menyediakan beberapa produk yang menarik di beberapa perbandaran kami untuk dilancarkan pada suku keempat tahun ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM791.2 juta.
“Dengan momentum kukuh yang telah dibina sehingga kini, kami yakin akan keupayaan kami dalam mencapai sasaran kewangan dan operasi syarikat tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN










