TNB, Charge+ bekerjasama dalam pengecasan rentas sempadan

TNB, Charge+ bekerjasama dalam pengecasan rentas sempadan

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara TNB dan Chargeplus Sdn. Bhd,dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (empat, kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Chargeplus Sdn. Bhd. (Charge+), anak syarikat Charge+ Pte Ltd., penyedia solusi pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu terkemuka di Singapura dan Asia Tenggara mengumumkan inisiatif bersama untuk meneroka platform perayauan rentas sempadan.

Platform ini akan menghubungkan pelanggan ke stesen pengecasan EV di seluruh Malaysia dan Singapura dengan mudah, merevolusikan pengalaman pemanduan EV.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, kerjasama Itu adalah peluang yang luar biasa untuk meneroka kebolehlaksanaan teknikal dan komersial terhadap pengaturan perayauan antarabangsa.

“Kerjasama ini direka untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan ketara bagi kedua-dua pihak TNB dan Charge+ semasa mereka memulakan perjalanan merentas sempadan.

“Dengan akses lancar ke stesen pengecasan, pemandu kenderaan elektrik akan dapat menikmati kemudahan dan ketenangan fikiran yang tidak dapat dikecapi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan semasa Persidangan Peralihan Tenaga 2023, Ogos lalu.

MoU itu membentuk asas bagi pembangunan rangkaian rentas sempadan yang lancar bagi infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik, sejajar dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, MoU ini adalah perintis kepada pakatan perayauan rentas sempadan di Malaysia dalam sektor pengecasan EV.

“Sebagai sebahagian daripada visi utama kami, kerjasama strategik ini akan disepadukan ke dalam rangkaian luas 30,000 stesen pengecasan menjelang 2030, merangkumi lebuh raya EV sepanjang 5,000 kilometer merentasi lima negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

“TNB sedang mengorak langkah penting untuk meningkatkan kebolehcapaian stesen pengecasan kenderaan elektrik di dalam Malaysia dan di luar negara. Perluasan rangkaian TNB Electron ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan pengecasan tetapi juga mengukuhkan dedikasi TNB untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan kami,” ujarnya.

Mengenai kebimbangan terhadap kesesuaian kenderaan elektrik untuk perjalanan jauh dan rentas sempadan, Baharin menyatakan keyakinannya bahawa inisiatif perayauan antarabangsa ini akan memainkan peranan penting dalam menangani persepsi ini.

“Kemudahan yang lebih baik akan mengurangkan kebimbangan mengenai jarak jauh yang mungkin dialami oleh pemandu EV, sekali gus mendorong penggunaan EV yang lebih tinggi di Malaysia.

“Kerjasama TNB dan Charge+ juga akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di Malaysia yang menyokong matlamat negara mencapai Sifar Bersih 2050 serta sejajar dengan objektif NETR,” katanya.

Tambah beliau, perkongsian strategik ini akan membolehkan pengguna aplikasi mudah alih stesen pengecas TNB Electron (GO TO-U) dan Charge+ (Charge+) mengakses aset pengecasan EV kedua-dua syarikat dengan mudah, memberikan pengalaman pengecasan rentas sempadan yang lebih baik untuk pelanggan TNB Electron dan Charge+. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN