PETALING JAYA: Bilangan tangkapan bagi kesalahan tuntutan palsu meningkat sebanyak 66.9 peratus pada tahun lalu, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Tangkapan bagi memberi dan menerima rasuah serta salah guna kedudukan bagaimanapun mencatatkan penurunan dalam tempoh berkenaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan kertas siasatan berkaitan kes rasuah yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu merekodkan penurunan 1.0 peratus kepada 820 kes daripada 828 kes tahun sebelumnya.
“Kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan pada 2022 merekodkan penurunan kecuali kesalahan tuntutan palsu dan memberi rasuah masing-masing meningkat 41.1 peratus dan 17.9 peratus.
“Bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 6.8 peratus pada 2022 dengan 909 tangkapan berbanding 851 tangkapan (2021),” katanya dalam laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023.
Mohd. Uzir berkata, bilangan kes jenayah seksual pula meningkat 2.9 peratus kepada 3,303 kes daripada 3,209 kes pada 2021.
Walau bagaimanapun katanya, kes seks luar tabii, ganguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menurun sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus.
“Kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada 2022 iaitu 9.6 peratus,” katanya.
Bagi kesalahan trafik, Mohd. Uzir berkata, jumlah saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 15.3 peratus kepada 5.3 juta saman, berbanding 4.6 juta saman tahun sebelumnya.
Saman POL 170A meningkat 8.3 peratus kepada 3.2 juta saman dan POL 257 meningkat 28.3 peratus kepada
2.1 juta saman, jelas beliau.
Menurut makluman di Facebook pdrmofficial, Saman POL 170A adalah notis yang dikeluarkan secara postal atau diletak pada kenderaan atas kesalahan trafik dan ianya dikeluarkan tanpa kehadiran pemandu atau tanpa ditahan oleh polis.
Saman POL 257 dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik apabila kesalahan dikesan dan diserahkan kepada pemandu atau pengguna jalan raya yang ada bersama-sama pada masa kesalahan itu dilakukan. Saman ini juga digunapakai selepas selesai sesuatu siasatan kes kemalangan jalan raya. – UTUSAN










