Syarikat SPV ditubuh teruskan projek Kedah Aerotropolis

Syarikat SPV ditubuh teruskan projek Kedah Aerotropolis

MUHAMMAD Sanusi Md Nor (tengah) bersama Vincent Tan Kee Kim (dua kanan) bertukar dokumen ketika majlis menandatangani usaha sama di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian usaha sama dengan Tahira Air Sdn. Bhd. bagi menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) untuk meneruskan projek Kedah Aerotropolis.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, syarikat SPV itu dinamakan sebagai Kedah Aerotropolis Holdings Sdn. Bhd.

Beliau berkata, Kedah Aerotropolis Holdings akan menjadi pemaju baharu projek tersebut bagi menggantikan SPV sebelum ini yang gagal memenuhi perjanjian.

“Sebelum ini kita tandatangan dengan syarikat lain yang telah dibatalkan kerana kegagalan mereka untuk mendepositkan 125 peratus daripada anggaran kos pengambilan tanah.

“Dalam tempoh 90 hari daripada perjanjian ditandatangani hari ini, SPV (baharu) ini melalui Tahira Air akan mendepositkan 125 peratus (kos berkenaan) yang dianggarkan berjumlah RM2.5 bilion untuk kita mulakan proses pengambilan tanah.

“Pengambilan tanah melibatkan tanah syarikat atau pun tanah individu untuk kita gazet di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, syarat di bawah seksyen ini perlu deposit dahulu 125 peratus itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani usaha sama itu, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KXP AirportCity Holdings menandatangani perjanjian itu bagi pihak KXP AirportCity Holdings, sementara Tahira Air diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Tahira Group, Vincent Tan Kee Kim.

Menurut Muhammad Sanusi, projek Kedah Aerotropolis mempunyai beberapa komponen utama pembangunan iaitu Lapangan Antarabangsa Kulim (KXP), Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub (SLAM) dan pembangunan bersepadu kawasan komersial.

“Kita sebenarnya telah diberi kebenaran, kelulusan untuk melaksanakan business park, MRO (maintenance, repair and overhaul), SLAM, diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Perkara yang kita sedang uruskan (untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan) adalah airport city atau terminal lapangan terbang, ini dalam pengurusan lagi membabitkan beberapa aspek teknikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN