PETALING JAYA: Sebagai sokongan kepada usaha Kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk mengekang penularan penyakit kencing manis, Sunway Healthcare Group telah melancarkan kempen “KNOW Diabetes” tahunannya sempena Hari Penyakit Kencing Manis Dunia pada 14 November.
Kempen interaktif digital-dahulu yang memasuki tahun ketiga itu, bertujuan mendekati lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyebarkan pengetahuan kesihatan atau celik kesihatan.
Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam membendung penularan penyakit diabetes terbukti dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini di mana kerajaan telah mencadangkan untuk menaikkan duti eksais ke atas minuman manis (cukai gula) daripada 40 sen seliter kepada 50 sen seliter.
Cukai yang dikutip pula katanya, akan disalurkan untuk merawat penyakit kencing manis dan memberi sokongan kepada pusat dialisis.
“Krisis penyakit diabetes tidak dapat dibendung jika semua rakyat Malaysia tidak bersatu hati dan bekerjasama. Kempen ‘KNOW Diabetes 2023’ Sunway Healthcare Group berhasrat membawa rakyat Malaysia dari semua lapisan bersama-sama membendung peningkatan diabetes dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan bebas penyakit,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pakar Sunway Home Healthcare, Dr. Ng Xun Jin dan Dr. Ng Chin Nee juga akan menunjukkan kesan pilihan makanan yang sihat dan tidak sihat ke atas paras gula darah menggunakan monitor glukosa berterusan.
Orang ramai juga dijemput untuk mencadang makanan yang mereka ingin pantau pada monitor glukosa itu.
“Pusat Perubatan Sunway juga akan menyediakan promosi pemeriksaan kesihatan kepada individu yang berisiko tinggi untuk mengekang beban emosi dan ekonomi yang disebabkan oleh penyakit diabetes kepada individu, keluarga, system penjagaan kesihatan dan negara,” jelasnya. – UTUSAN










