SME Corp., Funding Societies peruntuk RM6 juta

SME Corp., Funding Societies peruntuk RM6 juta kepada usahawan belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Corporation Malaysia (SME Corp.), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Funding Societies memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM6 juta untuk usahawan belia Bumiputera di bawah program Inisiatif Pembiayaan PMKS Bumiputera (BMFI).

Inisiatif pembiayaan baharu itu bertujuan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp.

Funding Societies, sebagai Rakan Kongsi Kewangan yang dilantik akan memperluaskan penyelesaian pembiayaan digitalnya kepada usahawan belia melalui program Pembiayaan Tunas-i mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp.,Rizal Nainy berkata, peruntukan khusus untuk usahawan belia Bumiputera melalui BMFI adalah bertepatan mengambil kira kepentingan mereka dalam merealisasikan matlamat kerangka Ekonomi MADANI bagi mencapai pertumbuhan yang lebih seimbang, terangkum dan mampan.

“Kami berharap dapat memanfaatkan kerjasama dengan Funding Societies ini untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan jangka pendek yang inovatif dan pantas melalui platform digital untuk PMKS Bumiputera, sebagai tambahan kepada pembiayaan kerajaan sedia ada.

“Justeru, kami menjangkakan lebih ramai PMKS Bumiputera akan mengambil peluang daripada inisiatif ini bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka, khususnya dalam modal kerja. Akses kepada pembiayaan kekal menjadi isu utama yang menjadi cabaran kepada pertumbuhan PMKS termasuklah usahawan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Negara, Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, kerjasama yang terjalin melakarkan satu lagi detik penting dalam perjalanan syarikat untuk memupuk pertumbuhan dan daya tahan PMKS Bumiputera.

“Perkongsian ini adalah bukti visi bersama kami untuk melengkapkan para usahawan dinamik ini dengan bantuan kewangan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Perusahaan mikro dan usahawan belia memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi pertumbuhan yang lebih terangkum, mampan dan seimbang untuk Malaysia. Namun, mereka menghadapi cabaran berterusan dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan, lazimnya disebabkan oleh kekurangan atau ketiadaan cagaran dan prestasi kredit.

“Sebagai platform pembiayaan digital terkemuka di rantau ini dengan rekod prestasi yang terbukti dalam mempromosikan keterangkuman kewangan dalam kalangan PMKS, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SME Corp. dalam memperkasakan usahawan muda kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN