KUALA LUMPUR: Bertemakan `10 Tahun Memperkasa Rakyat Malaysia’, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan program InvestSmart Fest bagi mempromosikan pendidikan dan perlindungan pelabur.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, InvestSmart Fest merupakan kebanggaan SC dalam perlindungan pelabur dan pendidikan kewangan.
Beliau berkata, InvestSmart bertujuan menjadikan generasi masa depan lebih bijak melabur dan berhubung dengan mereka melalui dalam talian dan sosial media.
“InvestSmart tahun ini memfokuskan empat tema utama iaitu pemerkasaan pelabur, fintech, perancangan kewangan dan pencegahan penipuan pelaburan.
“Lebih 35 organisasi menyertai termasuk institusi pasaran kewangan pengantara pasaran modal, persatuan industri, badan kawal selia, agensi kerajaan dan rakan gabungan SC,” katanya pada Majlis Perasmian InvestSmart Fest 2023 di sini, semalam.
Majlis Perasmian InvestSmart Fest disempurnakan oleh Timbalan Menteri 2, Steven Sim Chee Keong.
Awang Adek turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyamar sebagai guru pelaburan tidak berlesen dan pempengaruh kewangan yang tidak membantu pelabur.
Jelasnya, SC telah mengambil tindakan terhadap lima individu bergelar pempegaruh kewangan termasuk tindakan pentadbiran dan pertuduhan jenayah bagi aktiviti berkaitan nasihat pelaburan tidak berlesan dan penggubalan wang haram.
“SC juga telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengekang aktiviti penipuan yang semakin berleluasa,” katanya
Selain itu, beliau berkata, SC telah membangunkan meter penipuan dan akan melancarkan Semak Sebelum Labur di laman webnya tidak lama lagi.
Sementara itu, Steven Sim berkata, program itu sangat penting untuk membantu rakyat Malaysia memahami pelaburan dan membolehkan pelabur berpengalaman mengikuti perkembangan terkini.
“Adalah menjadi harapan saya bahawa kita akan mempunyai sektor kewangan yang lebih dinamik dan bertenaga yang seterusnya akan menyokong pertumbuhan ekonomi kita yang tulen,” katanya. – UTUSAN










