RPDG jalin kerjasama wujud saluran pengedaran durian di China

RPDG jalin kerjasama wujud saluran pengedaran durian di China

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Kumpulan Durian Pahang Diraja (RPDG) dan Chyau Fwu Land Holdings Co. Ltd. (CFLH) Kumpulan Parkview di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Royal Pahang Durian Group (RPDG) menjalin kerjasama dengan Chyau Fwu Land Holdings Co. Ltd. (CFLH), syarikat di bawah Kumpulan Parkview Group untuk mewujudkan saluran pengedaran durian Malaysia yang lengkap dan teguh di China.

Kolaborasi pertama seumpamanya dengan beberapa rakan strategik, dijangka memacu model pasaran terus kepada pengguna (B2C) bagi Musang King dan baka durian berkualiti tinggi tempatan yang lain ke pasaran China. Ia juga usaha untuk meningkatkan standard perladangan lestari di Malaysia.

Naib Pengerusi RPDG, Datuk Albert Chang Si Fock berkata, perjanjian akan membuka laluan bagi pihak terlibat untuk mewujudkan sebuah subsidiari operasi yang akan mengedarkan produk durian sejuk beku di pasaran China yang dilihat berpotensi lumayan.

“Langkah ini bakal merealisasikan visi model B2C yang dibayangkan oleh kedua-dua pihak. Pihak kami mengambil kira kepesatan dan nilai tinggi pasaran di China. RPDG dan CFLH turut menandatangani perjanjian rangka kerja strategik bersama JD.com antara platform peruncitan dan pemasaran atas talian terbesar di China.

“Perkongsian membolehkan produk durian keluaran RPDG ditawarkan kepada pengguna platform e-dagang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara Kumpulan Durian Pahang Diraja (RPDG) dan Chyau Fwu Land Holdings Co. Ltd. (CFLH) Kumpulan Parkview di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, kedua-dua pihak turut menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan dengan Universiti Malaya (UM) dan perjanjian rangka kerja kerjasama strategik dengan dua syarikat iaitu JD.com dan SF Express.

“Dengan penglibatan CFLH, JD.com dan SF Express dalam model pasaran B2C, kami yakin visi untuk mewujudkan sebuah pasaran durian secara B2C di China akan dapat direalisasikan.

“Ini merupakan sebuah testimoni kepada komitmen kami dalam mengangkat status Musang King dan variasi durian keluaran Malaysia yang berkualiti tinggi,” katanya.

Chang Si Fock berkata, RPDG berharap membina asas bagi mewujudkan sebuah saluran eksport yang lestari untuk produk berasaskan durian dari Malaysia.

“Kami melihat kepada potensi nilai pasaran durian di China yang bakal mencecah RMB130 billion menjelang 2026.

“Kami maklum akan cabaran dan peluang yang wujud dan kami kekal komited dengan pendekatan inklusi berkolaborasi dengan semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan tersebut, demi melonjakkan reputasi durian Musang King keluaran Raub di pasran China.

“Hal ini dilihat mustahak memandangkan peningkatan dari segi saingan dari negara-negara pengeluar durian yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, perjanjian penyelidikan tersebut menggariskan komitmen dalam inovasi saintifik, dengan fokus kepada efikasi partikel nano dan Trichoderma sp. sebagai biopestisid dalam mengawal Phytophthora palmivora yang mengancam tanaman durian.

“Penyelidikan dan inovasi yang berterusan sangat penting dalam mewujudkan standard perladangan yang lestari. Dengan kolaborasi ini, kami berharap bukan sahaja menawarkan kaedah yang praktikal dalam menangani masalah penyakit tumbuhan, malah untuk menjadikan ia piawaian dalam kalangan peladang di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN