Ringgit sukar capai RM4.30 disebabkan krisis

Ringgit sukar capai RM4.30 disebabkan krisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangkaan ringgit boleh mencapai RM4.30 berbanding dolar AS pada akhir tahun, dilihat sukar berikutan tentangan terhadap Amerika Syarikat yang menyokong Israel dalam krisis Palestin-Israel, menurut pakar ekonomi.

Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, jangkaan itu dilihat sukar ekoran ekonomi yang meruncing selain kekalutan peperangan yang sedang berlaku di Palestin.

Katanya, walaupun tindakan Amerika Syarikat (AS) menyokong Israel mendapat tentangan, ia tidak sekalipun mampu untuk meningkat dan mengukuhkan nilai ringgit.

“Ketegangan ini akan menyebabkan harga gas dan minyak menjadi lebih tinggi yang mampu memberi tekanan inflasi di AS. Ini tentunya akan terus mempengaruhi keadaan di negara membangun seperti Malaysia.

“Malaysia perlu mencari jalan bagaimana untuk meningkat pelaburan langsung domestik (DDI) dan perdagangan antara negara ASEAN menggunakan mata wang negara masing masing dan tidak bergantung kepada dollar AS. Pengaruh ekonomi global sukar untuk menenangkan nilai ringgit di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MIDF Research sebelum ini mengunjurkan ringgit mengukuh pada paras RM4.30 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, berikutan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dikatakan telah mengakhiri kitaran dasar monetari yang ketat.

Firma penyelidikan itu berkata, ia seiring dengan jangkaan bahawa mata wang pasaran baharu muncul akan mengukuh apabila kadar faedah AS menghampiri paras kemuncaknya yang akan disusuli dengan kemasukan semula aliran dana ke pasaran berisiko.

Mengulas isu sama, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia bergantung kepada pasaran kewangan global semasa.

“Pengukuhan nilai ringgit juga didukung oleh dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM), kemajuan ekonomi Malaysia, kenaikan harga komoditi utama yang dieksport oleh Malaysia seperti minyak mentah dan minyak kelapa sawit.

“​​Selain itu, peningkatan jumlah pelancong asing juga pasti mengukuhkan nilai ringgit melalui industri pelancongan,” katanya.

Tambah Aimi Zulhazmi, keperluan untuk menambat ringgit mungkin juga perlu dilihat sekiranya turun naik nilai ringgit berlaku terlalu tidak menentu, justeru menyebabkan ketidakstabilan ekonomi negara.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, jangkaan ringgit mencapai RM4.30 berbanding dolar mampu dicapai sekiranya situasi di AS kembali stabil.

Katanya, hal tersebut menjadi faktor utama yang mempengaruhi pergerakan nilai ringgit.

“Saya tidak melihat ringgit perlu ditambat kembali kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur, pada masa yang sama rizab antarabangsa kita tidak mencukupi untuk menampung kos tambatan tersebut.

“Kerajaan perlu terus memperkasa ekonomi domestik supaya tidak bergantung kepada barangan import dan pengambilan pekerja asing juga patut dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, pelajar tempatan yang menuntut di luar negara antara yang terkesan dengan turun naik ringgit berbanding dolar ataupun mata wang lain seperti euro, pound dan dolar Australia.

“Penaja biasiswa perlu memastikan kebajikan pelajar tempatan yang sedang menuntut di luar negara terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×